Jiran Direman 5 Hari, Disyaki Bunuh Warga Emas

IPOH: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita warga emas di Taman Desa Aman, direman selama lima hari bermula hari ini hingga 9 Mei bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Muhammad Najib Hamzah berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas suspek yang juga jiran mangsa ditahan di sekitar lokasi kejadian pada malam sama.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku antara jam 4.45 petang hingga 10 malam, iaitu tempoh terakhir mangsa dilihat keluar rumah sebelum ditemui maut.

Beliau memaklumkan, polis menerima panggilan daripada anak mangsa sekitar jam 10 malam memaklumkan kejadian tersebut, namun waktu sebenar insiden masih dalam siasatan lanjut.

Siasatan awal turut mendapati suspek pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Februari lalu.

Terdahulu, mangsa berusia 70 tahun ditemui terbaring di dalam rumahnya dengan kesan kecederaan parah dipercayai akibat ditetak pada beberapa bahagian badan termasuk kepala dan leher.

Polis turut menemui sebilah parang di lokasi yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Sebarang maklumat berkaitan diminta disalurkan kepada pihak polis.

BBerkaitan

Latest articles