KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menasihatkan mana-mana pihak segera membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai maklumat mengenai dakwaan sogokan ketika pengundian pos di Parlimen Bera.
“Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan sekiranya terdapat perbuatan sogokan atau rasuah semasa proses ketika pengundian pos di Parlimen P.090 Bera sebagaimana didakwa, pengadu yang mempunyai maklumat atau bukti disarankan untuk melaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata SPR menerusi kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa terdapat anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera yang dibayar RM300 untuk mengundi hari ini.
“Saya dapat maklumat sahih bahawa anggota tentera, undi pos telah mula mengundi pagi ini, (dan ia) melanggar peraturan SPR terutama untuk (kawasan) parlimen Bera dan (mereka) dibayar RM300,” katanya seperti dipetik daripada laporan Malaysiakini.
Anwar yang juga Presiden PKR menggesa SPR menyiasat dan mengambil tindakan tegas berhubung perkara terbabit.
Dalam pada itu, Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuntut permohonan maaf daripada Anwar.
Menurut Ismail Sabri, ia satu tuduhan jahat yang menghina anggota tentera baik di Bera mahu pun di seluruh negara.