Jenama PN Lebih Kuat Daripada Isu Dalaman, Pengundi Muda Didakwa Tak Sedar Konflik Bersatu-PAS

KUALA LUMPUR: Pengaruh jenama Perikatan Nasional (PN) dilihat begitu dominan dalam kalangan pengundi muda sehingga ramai menyatakan sokongan kepada gabungan itu tanpa mengetahui konflik dalaman yang sedang melanda parti-parti komponennya, menurut Ilham Centre.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata hasil pemerhatian dan tinjauan di lapangan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan mendapati kebanyakan pengundi muda hanya mengenali jenama PN, tetapi kurang memahami perkembangan politik yang berlaku dalam gabungan berkenaan.

Beliau berkata, ramai juga tidak menyedari pertikaian antara Bersatu dan PAS yang kini menerajui PN.

“Apa yang mereka tahu hanyalah PN, PN, PN. Disebabkan faktor ‘slow branding’, majoriti pengundi muda tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam gabungan itu.

“Di Johor dan Negeri Sembilan, ada dalam kalangan mereka yang menyatakan mahu mengundi PN di kerusi yang sebenarnya langsung tidak ditandingi PN,” katanya ketika menjadi panel dalam forum pasca-PRN di Universiti Malaya.

Menurut Hisommudin, situasi itu menunjukkan strategi penjenamaan yang dibina sejak beberapa tahun lalu berjaya meletakkan PN sebagai identiti politik yang kukuh dalam fikiran penyokong, mengatasi pengetahuan mereka mengenai struktur serta dinamika dalaman gabungan tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan PRN Negeri Sembilan, PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang dipimpin Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, muncul sebagai pihak yang paling banyak meraih manfaat daripada kekuatan jenama PN.

Katanya, sokongan terhadap PN kini lebih tertumpu kepada imej gabungan itu sendiri berbanding parti-parti yang menganggotainya.

Pada PRN Negeri Sembilan, PAS mengetuai kerjasama pilihan raya PN bersama Barisan Nasional (BN), dengan PN memenangi tujuh kerusi manakala BN menguasai 18 kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Dalam masa sama, Bersatu memilih bertanding secara bersendirian di 24 kerusi menggunakan lambang sendiri sebagai tanda bantahan terhadap kerjasama dengan BN, namun gagal memenangi sebarang kerusi.

BBerkaitan

Latest articles