Jika Serius Mahu Akta Tahanan Rumah, Bawa Ke Kabinet – Wan Saiful ‘Sekolahkan’ Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sepatutnya membawa cadangan penggubalan akta tahanan rumah ke Kabinet dan bukannya menggesa badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan perkara itu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebagai anggota Kabinet, Mohamad mempunyai saluran untuk mengemukakan cadangan berkenaan bagi mendapatkan persetujuan kerajaan sebelum mengarahkan Peguam Negara menyediakan rang undang-undang (RUU) berkaitan.

Menurutnya, tindakan Mohamad menyeru NGO mengusahakan penggubalan akta baharu bagi membolehkan semua pesalah menjalani tahanan rumah dilihat tidak kena pada tempatnya.

“Seruan ini sudah terbalik dan luar tabi’e. Biasanya NGO yang buat seruan kepada Menteri. Tapi nampaknya menteri PH sudah terlupa bahawa mereka adalah menteri sehingga menteri pula membuat seruan kepada NGO.

“Bagi saya, Datuk Seri Mohamad cuba untuk berlakon saja. Sengaja nak mencari publisiti,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sekiranya Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu benar-benar serius mahu mewujudkan akta baharu berkenaan, beliau sepatutnya menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk membawa perkara itu ke peringkat Kabinet.

“Itu baru betul sebagai menteri yang bekerja.

“Kalau hanya nak berlakon dan mencari publisiti, lebih baik Presiden Parti Amanah itu letak jawatan Menteri,” katanya.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara itu turut menyifatkan tindakan berkenaan sebagai membuang masa rakyat sekiranya tiada usaha konkrit dilakukan untuk merealisasikan cadangan tersebut.

Malah, beliau mencadangkan Mohamad supaya meletakkan jawatan sekiranya mahu mengikuti langkah pemimpin DAP, Anthony Loke yang sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan.

“Dan kalau nak ikut jejak langkah DAP memprotes titah Tuanku Agong, saya sarankan letak jawatan seperti mana dilakukan Anthony Loke.

“Lebih ramai letak jawatan, lebih baik untuk negara. Malaysia boleh dibersihkan daripada Menteri-Menteri yang menyanggah titah Raja-Raja Melayu,” katanya.

Terdahulu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja pada Rabu menyatakan kesediaan menyerahkan keseluruhan gaji bulanannya sebagai menteri berjumlah RM11,900 sehingga pembubaran Parlimen bagi membantu membiayai usaha NGO memperjuangkan mekanisme tahanan rumah untuk semua banduan.

Beliau mencadangkan supaya banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara, manakala baki separuh lagi melalui tahanan di rumah berdasarkan peraturan yang adil dan telus.

Mohamad turut menggesa NGO, pengamal undang-undang dan masyarakat sivil menggerakkan usaha bagi mewujudkan mekanisme perundangan yang memastikan prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang terpakai kepada semua tanpa mengira kedudukan atau pengaruh politik.

BBerkaitan

Latest articles