Gibran Serah Surat Peletakan Jawatan Naib Presiden Indonesia

JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden Prabowo Subianto pada Rabu, sebelum mengemukakan surat berkenaan kepada pimpinan Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) pada Khamis.

Perkembangan itu disahkan pembantu politiknya, Budi Arie Setiadi kepada Reuters, ketika Gibran berdepan tekanan politik susulan kontroversi kelayakan akademiknya.

Menurut laporan Reuters pada Rabu, Budi Arie mengesahkan Gibran telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Prabowo pada hari sama.

Dua sumber di MPR turut memaklumkan kepada agensi berita itu bahawa Gibran dijadual menyerahkan surat peletakan jawatan kepada badan perundangan berkenaan pada pagi Khamis.

Speaker MPR, Ahmad Muzani kemudian mengesahkan Gibran turut mengemukakan surat kepada pimpinan MPR, yang akan membincangkan langkah seterusnya berhubung perkara itu.

Gibran, 39, yang juga anak sulung bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, sebelum ini menyatakan hasrat untuk berundur ketika mengadakan pertemuan dengan Prabowo pada Selasa.

Jurucakap Presiden, Prasetyo Hadi berkata, pertemuan selama kira-kira dua setengah jam itu menyaksikan Gibran menyampaikan hasrat berkenaan susulan perkembangan kes mahkamah berkaitan dokumen pendidikannya.

Kontroversi itu tercetus selepas Mahkamah Agung Indonesia pada 30 Oktober lalu membatalkan sijil kesetaraan pendidikan menengah luar negara yang digunakan Gibran bagi memenuhi syarat pencalonan sebagai Naib Presiden pada Pilihan Raya Presiden 2024.

Keputusan itu menyusul selepas Mahkamah Konstitusi sebelum ini mendapati bukti dokumentasi yang dikemukakan tidak mencukupi untuk mengesahkan kelayakan pendidikan luar negara berkenaan memenuhi syarat ditetapkan.

Tekanan terhadap Gibran turut meningkat apabila seramai 120 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) daripada lapan puak politik menandatangani usul menggunakan Hak Menyatakan Pendapat (HMP) pada Rabu, yang boleh membuka laluan kepada proses pemakzulan.

Sementara itu, Gibran sebelum ini berkata Prabowo memberikan beberapa nasihat berhubung kontroversi yang dihadapinya, termasuk meneruskan usaha melalui saluran perundangan.

“Salah satu cadangan beliau ialah saya terus berjuang di PTUN (Mahkamah Pentadbiran Negara) dengan mengemukakan semua dokumen dari sekolah rendah sehingga ijazah sarjana muda,” katanya seperti dipetik laporan Kompas.

Peletakan jawatan Gibran turut menimbulkan persoalan mengenai masa depan kerjasama politik antara Prabowo dan Jokowi, yang memainkan peranan penting dalam kemenangan pasangan Prabowo-Gibran pada pilihan raya presiden 2024.

Menurut Reuters, perkembangan itu berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik baharu di Indonesia, ketika hubungan antara Prabowo dan bekas presiden berkenaan dilaporkan semakin tegang.

Bagaimanapun, proses perlembagaan bagi mengesahkan pengosongan jawatan serta pemilihan pengganti Naib Presiden masih perlu dilaksanakan mengikut mekanisme yang ditetapkan.

Berdasarkan peruntukan perlembagaan Indonesia, MPR mempunyai tempoh 60 hari untuk memilih Naib Presiden baharu sekiranya berlaku kekosongan jawatan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles