MP Kepong Sumbang RM5,000 Bantu Anggota Polis Putus Pergelangan Tangan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyatakan rasa sedih susulan insiden seorang anggota polis yang putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki bersenjatakan parang di Desa Aman Puri, Kepong, pada Rabu.

Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada anggota berkenaan, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 menggunakan wang peribadinya.

Lim berkata, beliau berharap pembedahan menyambung semula pergelangan tangan anggota polis itu berjalan lancar dan mangsa segera pulih sepenuhnya.

“Saya amat sedih dengan kejadian seorang anggota polis yang putus pergelangan tangan akibat ditetak ketika bertugas di Desa Aman Puri, Selangor.

“Saya berdoa agar pembedahan menyambung semula tangannya berjaya dan beliau segera sembuh sepenuhnya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau berkata, sumbangan itu akan disalurkan pada masa yang sesuai sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan anggota polis terbabit ketika menjalankan tugas.

Insiden berkenaan berlaku kira-kira jam 7 malam apabila sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke sebuah premis kediaman susulan laporan orang awam mengenai seorang lelaki dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sebaik sahaja pintu kediaman dibuka, suspek tiba-tiba meluru keluar dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota keselamatan yang berada di hadapan pintu.

Serangan itu menyebabkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, putus pergelangan tangan kanan selain mengalami kecederaan di kepala dan badan.

Suspek kemudian melarikan diri sebelum dikesan semula berhampiran sebuah taman permainan kira-kira jam 8 malam.

Bagaimanapun, suspek sekali lagi menyerang anggota polis menggunakan parang ketika cuba ditahan, menyebabkan beberapa das tembakan dilepaskan bagi mempertahankan diri.

Suspek disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Anggota polis yang cedera pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanannya.

Ketua Polis Selangor memaklumkan mangsa berada dalam keadaan stabil ketika menjalani pembedahan, manakala beberapa anggota bomba dan petugas KKM turut dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

BBerkaitan

Latest articles