KUALA LUMPUR: DAP dan Pakatan Harapan (PH) pernah berada dalam keadaan terdesak sehingga berusaha menjalin kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ketika Parlimen tergantung.
Bekas pemimpin DAP, Ong Kian Ming, berkata kedua-dua pihak juga pernah berhasrat membentuk kerjasama pilihan raya dengan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Instagram sebagai respons terhadap kritikan penasihat DAP, Lim Guan Eng, terhadap Umno.
Lim sebelum ini menyifatkan Umno sebagai parti yang sering mengubah pendirian mengikut kepentingan politik, selain menggesa parti itu keluar daripada kerajaan perpaduan.
Bekas Menteri Kewangan itu turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyingkirkan Umno daripada pentadbiran kerajaan.
Kenyataan Lim dibuat susulan kritikan Umno terhadap keputusan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Lim mempersoalkan pendirian Umno yang disifatkannya bercanggah, terutama apabila parti itu tidak membangkitkan isu berkenaan sebelum peletakan jawatan Loke berkuat kuasa.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini menyifatkan Loke sebagai pemimpin berprinsip kerana menunaikan janjinya untuk berundur.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, mendakwa Loke tidak menghormati kuasa pengampunan yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong.
Loke mengumumkan peletakan jawatannya pada September lalu susulan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menetapkan keputusan itu berkuat kuasa apabila Najib mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Pada PRU15, tiada gabungan atau parti tunggal memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, sekali gus membawa kepada penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bagaimanapun, BN memilih untuk bertanding secara solo pada PRN Johor dengan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi, langkah yang turut diikuti PH.
Keputusan pilihan raya itu menyaksikan BN mencatat kemenangan besar dengan memperoleh 48 kerusi, manakala PH hanya memenangi lapan kerusi.










