‘Jangan Termakan Fitnah’ – Tok Mat Kata Pihak Lawan Perang Psikologi Dengan Isu Institusi Diraja

REMBAU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang mengaitkan institusi diraja menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah yang sengaja dimainkan pihak lawan.

Menurut beliau, penyebaran pelbagai andaian berhubung institusi diraja sekiranya BN memenangi PRN hanyalah taktik perang psikologi untuk membangkitkan kemarahan rakyat terhadap gabungan itu.

“Kita berharap rakyat tidak termakan dakwaan seperti ini. Apa yang lebih penting ialah meyakinkan rakyat tentang apa yang mampu kita lakukan untuk meningkatkan kesejahteraan mereka, bukannya menyebarkan fitnah.

“Sudah tiba masanya semua pihak lebih matang kerana rakyat hari ini tidak lagi mudah mempercayai fitnah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, pagi ini.

Mohamad yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau turut menyeru semua pengundi supaya keluar mengundi bagi memastikan peratusan keluar mengundi berada pada tahap yang memuaskan.

Beliau berkata sasaran kadar keluar mengundi sekitar 70 hingga 75 peratus disifatkan sebagai baik memandangkan ramai pengundi berdaftar kini tidak lagi menetap di kawasan tersebut.

“Saya harap ramai yang akan keluar mengundi hari ini kerana setiap undi amat penting dalam menentukan masa depan negeri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai harapan terhadap keputusan pilihan raya, Mohamad berseloroh mengimpikan kemenangan penuh buat BN.

“Kalau boleh, kita menang semua kerusi. Kalau bolehlah,” katanya sambil tersenyum.

Terdahulu, Mohamad tiba di pusat mengundi kira-kira jam 8.25 pagi bersama isterinya, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin, serta diiringi empat anak dan dua menantunya sebelum menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

BBerkaitan

Latest articles