KUALA LUMPUR: Tindakan mana-mana pemimpin utama atau Timbalan Perdana Menteri yang secara terbuka mendesak Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dengan kadar segera ditegur keras sebagai bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan bahawa penentuan tarikh pembubaran Parlimen adalah kuasa prerogatif mutlak Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(1) dan tertakluk kepada Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, biarpun seseorang pemimpin itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri atau presiden sebuah parti besar dalam gabungan kerajaan, mereka tetap terikat dengan doktrin Tanggungjawab Bersama Menteri (Collective Ministerial Responsibility).
”Seseorang menteri di dalam Kabinet… perlu menyedari bahawa dia tidak ada hak di bawah Perlembagaan untuk mendesak Perdana Menteri secara terbuka supaya menurut kehendaknya agar PRU-16 diadakan dengan segera,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Hassan, sekiranya menteri terbabit berkeras menolak keputusan pentadbiran sedia ada yang mahu membiarkan penggal Parlimen ke-15 berjalan hingga selesai, jalan paling bermaruah adalah melepaskan jawatan dalam Jemaah Menteri.
”Perkara yang menasabah dan bermaruah yang perlu dilakukannya ialah dengan meletakkan jawatan sebagai seorang menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan, bersesuaian dengan kehendak Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu satu pelanggaran nyata menteri berkenaan terhadap doktrin Tanggungjawab Bersama Menteri,” ujarnya.










