‘Jangan Khianati Rakan Sendiri’ – Megat Shahriman Tempelak Kerjasama Politik Tanpa Prinsip

SEREMBAN: Kerjasama politik hanya akan mendapat kepercayaan rakyat jika diasaskan kepada prinsip, kejujuran dan amanah, bukannya dibuat secara sebelah pihak sehingga membelakangkan rakan sendiri, kata calon BERSATU di kerusi Dewan Undangan Negeri Sembilan (DUN) Seri Menanti, Datuk Megat D. Shahriman Zaharudin.

Mengulas kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau berkata, BERSATU tidak menolak konsep kerjasama antara parti politik, namun ia perlu diputuskan secara telus, beradab dan menghormati semua pihak yang terlibat.

Menurutnya, perbezaan pandangan dalam sesebuah gabungan adalah perkara biasa, tetapi setiap keputusan mesti dicapai menerusi perbincangan bersama dan bukannya dibuat secara unilateral.

“Setiap parti politik perlu ada prinsip, kejujuran dan amanah. Kalau perkara itu pun tiada, buat apa rakyat hendak mengundi mereka?

“Kita tiada masalah dengan kerjasama politik. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi semua itu perlu dibincangkan secara beradab dan melalui mesyuarat.

“Kalau satu pihak tidak bersetuju dan satu lagi bersetuju, itu perkara biasa. Tetapi apabila keputusan dibuat tanpa berbincang dan tanpa mengambil kira pandangan rakan-rakan dalam gabungan, itu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Megat Shahriman berkata, tindakan membelakangkan rakan politik bukan sahaja mencerminkan kegagalan memegang amanah, malah bertentangan dengan nilai yang diajar dalam Islam.

“Saya bukan tokoh agama, tetapi saya tahu agama Islam mengajar nilai amanah dan kejujuran. Agama tidak pernah mengajar kita mengkhianati rakan sendiri atau membuat perjanjian yang membelakangkan pihak lain,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran sesebuah parti yang mahu bertanding dalam pilihan raya tetapi akhirnya dilihat bergantung kepada keputusan parti lain.

“Soalnya, adakah sebuah parti mahu bertanding pilihan raya tetapi bosnya berada dalam parti lain? Itu yang saya tidak faham.

“Kalau sesebuah parti tidak mempunyai pendirian, hari ini bersama pihak ini, esok bersama pihak lain, rakyat akan menilai sendiri sama ada parti seperti itu boleh dipercayai atau tidak,” katanya.

Menurut beliau, rakyat kini semakin matang dalam membuat penilaian dan tidak mudah menerima politik yang disifatkannya sebagai penuh kepura-puraan.

“Daripada berpura-pura atau bersikap munafik, lebih baik berterus terang dengan pendirian masing-masing. Rakyat boleh menilai siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang hanya mementingkan percaturan politik,” katanya.

Mengulas pendirian BERSATU, Megat Shahriman berkata parti itu akan terus berpegang kepada prinsip integriti serta memberi keutamaan kepada khidmat kepada rakyat berbanding percaturan politik yang mengorbankan kepercayaan.

Beliau berkata, kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini jelas menunjukkan parti itu kekal dengan pendekatan inklusif yang berteraskan nilai murni dan integriti.

“Yang penting bagi kita ialah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan mempertahankan integriti parti. Kita tidak akan bekerjasama dengan parti yang tidak mempunyai integriti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles