Jangan Jadikan Tajaan 27 Pelajar Alasan Tuduh Kerajaan Abai Ribuan Bakat

KUALA LUMPUR: Kritikan terhadap pemberian tajaan kepada 27 pelajar terbaik STPM 2025 wajar dilihat secara lebih rasional dan tidak dicampuradukkan dengan isu kemasukan puluhan ribu calon ke universiti awam.

Bagi orang awam, mempertikaikan pemberian tajaan kepada pelajar cemerlang dengan alasan kerajaan kononnya mengabaikan ribuan bakat dilihat sebagai hujah yang kurang tepat kerana kedua-duanya melibatkan perkara berbeza.

Tajaan kepada 27 pelajar itu merupakan penghargaan khas kepada kelompok terbaik kebangsaan, manakala bagi sesi akademik 2026/2027, seramai 82,092 daripada 107,875 calon yang layak menerima tawaran ke 20 universiti awam.

Angka itu sendiri menunjukkan akses kepada pendidikan tinggi awam tidak terhad kepada 27 pelajar berkenaan.

Persoalannya, mengapa pemberian penghargaan kepada kelompok kecil pelajar cemerlang perlu dijadikan ukuran bahawa kerajaan mengabaikan calon lain?

Masyarakat juga perlu memahami bahawa tidak semua calon yang memenuhi syarat minimum secara automatik akan memperoleh program atau universiti pilihan pertama.

Kemasukan ke program popular seperti perubatan, kejuruteraan dan bidang profesional lain sememangnya melibatkan persaingan sengit kerana jumlah tempat yang tersedia adalah terhad.

Dalam keadaan ribuan calon berebut ratusan tempat, adalah tidak realistik untuk mengharapkan setiap pemohon mendapat pilihan pertama masing-masing.

Pada masa sama, calon yang tidak berjaya mendapat tawaran pilihan masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan, tertakluk kepada kekosongan yang ada.

Isu ‘brain drain’ jangan sekadar bermain dengan istilah

Dalam isu lain, mengaitkan tajaan 27 pelajar dengan ancaman brain drain juga dilihat terlalu jauh jika tidak disertakan data dan bukti yang kukuh.

Penghijrahan bakat bukan isu yang boleh disandarkan kepada satu program tajaan semata-mata.

Ia turut berkait dengan peluang pekerjaan, gaji, prospek kerjaya, kemudahan penyelidikan dan keadaan ekonomi.

Jika benar mahu membahaskan isu brain drain, masyarakat tentu mahu melihat data yang menunjukkan berapa ramai graduan berhijrah, bidang yang terlibat serta faktor sebenar yang mendorong mereka meninggalkan negara.

Program bersasar bukan bermakna yang lain dianaktirikan

Orang awam juga boleh melihat isu ini melalui pendekatan kerajaan melaksanakan pelbagai program bersasar.

Sebagai contoh, Program MyLesen B2 Sekolah 2026 menyediakan lesen motosikal percuma kepada 60,000 pelajar B40.

Adakah pemberian manfaat kepada 60,000 pelajar bermakna jutaan pelajar lain telah diabaikan?

Sudah tentu tidak.

Ia adalah program bersasar berdasarkan objektif dan kumpulan penerima tertentu.

Prinsip yang sama sepatutnya digunakan dalam melihat tajaan kepada 27 pelajar terbaik STPM.

Memberi penghargaan kepada mereka tidak bermaksud pelajar lain tidak diberi perhatian, lebih-lebih lagi apabila puluhan ribu calon turut menerima tawaran ke universiti awam.

Kritik boleh, tetapi biarlah berpijak pada fakta

Pada akhirnya, masyarakat sememangnya mempunyai hak untuk mengkritik sistem pendidikan tinggi dan menuntut penambahbaikan.

KPT juga tidak seharusnya menganggap sistem sedia ada sudah sempurna.

Namun, kritikan akan lebih bermakna jika disertakan cadangan yang jelas mengenai bagaimana sistem kemasukan boleh ditambah baik, kapasiti program boleh diperluas dan ketelusan dapat dipertingkatkan.

Apa yang tidak wajar ialah menggunakan angka 27 untuk menggambarkan seolah-olah hanya 27 pelajar mendapat perhatian kerajaan, sedangkan lebih 82,000 calon ditawarkan tempat di universiti awam.

Dalam isu pendidikan, angka perlu dibaca secara keseluruhan.

Jangan kerana mahu mencipta tajuk yang sensasi, fakta akhirnya menjadi mangsa.

BBerkaitan

Latest articles