KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk meneliti sistem percukaian baharu yang menggabungkan elemen Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menerima kritikan apabila digesa agar tidak menjadikan rakyat dan golongan peniaga sebagai ‘bahan eksperimen’ dasar fiskal.
Ketua Penerangan Nasional Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Kementerian Kewangan perlu tampil memberikan penjelasan terperinci mengenai mekanisme sebenar sistem “hibrid” yang dicadangkan itu demi memberikan kepastian kepada pasaran.
Menurut beliau, perubahan pendirian kerajaan daripada mengekalkan SST kepada perancangan menggabungkannya dengan GST dalam tempoh beberapa bulan mencetuskan tanda tanya dan kebimbangan dalam kalangan pelaku ekonomi.
“Perubahan dasar sebesar ini tidak boleh dibuat secara cuba-cuba kerana kesannya akan ditanggung oleh jutaan pengguna dan peniaga.
“Jika mahu digabungkan, rakyat dan dunia perniagaan berhak mengetahui mekanismenya, kadar cukai, skop barangan dan perkhidmatan, nilai ambang (threshold) pendaftaran serta bagaimana kredit cukai input akan dikendalikan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan bahawa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ketika ini sudah pun terbeban dengan pelbagai penyesuaian operasi termasuk pelaksanaan e-Invois, di samping kenaikan kos bahan mentah, utiliti, logistik serta upah pekerja.
Justeru, sebarang pengenalan sistem cukai baharu dikhuatiri akan menambah kos pematuhan seperti pembaharuan perisian perakaunan dan latihan kakitangan, yang mana kos tersebut akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan.
“Jika kerajaan mendakwa sistem hibrid ini lebih progresif dan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah, tunjukkan buktinya dengan angka melalui kajian impak dan kos pematuhan.
“Berapa hasil tambahan kepada kerajaan? Berapa kos kepada PKS dan apa kesannya kepada inflasi? Ini sepatutnya dijawab sebelum sistem baharu diumumkan, bukannya selepas rakyat dan peniaga diminta menyesuaikan diri,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang turut mempersoalkan elemen GST yang mahu diserapkan memandangkan cukai berkenaan sebelum ini pernah disifatkan membebankan rakyat oleh kerajaan sendiri.
“Rakyat tidak memerlukan satu lagi nama baharu untuk cukai. Mereka memerlukan kestabilan dasar, kepastian kadar, sistem yang mudah dipatuhi dan jaminan bahawa perubahan ini tidak menaikkan kos sara hidup,” tegas beliau lagi.










