‘Jangan Hanya Doakan Saya, Doakan Keadilan Negara Terus Terpelihara’ – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Menjelang keputusan rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan pada Isnin, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengajak rakyat mendoakan bukan sahaja buat dirinya, malah agar sistem keadilan negara terus kekal bebas, adil dan berlandaskan undang-undang.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya nasib kes yang dihadapinya kepada mahkamah sambil berharap setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta, bukti dan prinsip keadilan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Kepada rakyat Muar dan seluruh Malaysia, jangan hanya doakan saya. Doakan Malaysia kekal sebagai negara di mana undang-undang melindungi semua, sama ada kawan atau lawan, yang berkuasa mahupun rakyat biasa.

“Saya sudah berusaha, selebihnya saya serahkan kepada ALLAH SWT. Kebenaran tidak memerlukan kuasa untuk berdiri. Hasbunallah wa ni’mal wakil, kepada ALLAH saya berserah,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook pada Ahad.

Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusan rayuan akhir Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan ke atasnya membabitkan empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), termasuk bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Sebelum ini, pada 30 Jun lalu, panel Mahkamah Persekutuan menangguhkan penyampaian keputusan selepas seorang hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana cuti sakit.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan ketika itu panel hakim telah bersedia menyampaikan keputusan, namun penangguhan dibuat susulan keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan beliau tidak pernah mengharapkan simpati, sebaliknya mahu rakyat melihat bagaimana prinsip dan integriti perlu dipertahankan walaupun berdepan ujian yang berat.

Menurutnya, sepanjang lebih enam tahun berdepan proses perundangan, beliau sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada mahkamah tanpa meminta sebarang layanan istimewa atau melengah-lengahkan prosiding.

“Saya memilih mahkamah kerana di negara yang kita cintai, kebenaran mesti diuji dengan bukti dan keadilan ditegakkan melalui undang-undang, bukannya kuasa.

“Saya tidak akan mendahului mahkamah. Saya hormati prosesnya dan akan hadir dengan tenang. Apa juga keputusan esok, saya tidak menyesal mempertahankan prinsip serta pendirian moral saya walaupun ada akibatnya.

“Kepimpinan bukan diuji ketika semuanya mudah, tetapi ketika masa depan dan kebebasan dipertaruhkan. Namun kita tetap memilih jalan yang benar, bukan jalan dendam,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles