Jalaluddin Dakwa Parti Lawan Sebar Fitnah Isu Tanah Orang Asli

JELEBU: Ahli Parlimen Jelebu yang juga calon Barisan Nasional (BN), N02 Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendakwa pihak lawan menyebarkan fitnah kononnya tanah masyarakat Orang Asli akan dirampas sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas kerana kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN sebelum ini telah mengusahakan pewartaan tanah penempatan masyarakat Orang Asli sebagai langkah melindungi hak mereka.

“Dikatakan kalau BN menang, tanah Orang Asli akan dirampas semula. Saya ingin tegaskan di hadapan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bahawa inilah antara perjuangan wakil rakyat dan Exco daripada UMNO serta Barisan Nasional.

“Sejak 2013, kami memperjuangkan pewartaan tanah penempatan masyarakat Orang Asli dan daripada 69 kampung, sebanyak 58 kampung telah berjaya diwartakan,” katanya ketika berucap pada Program Rahmah Mesra Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di Kg Tohor disini, hari ini

Menurutnya, kejayaan mewartakan kawasan penempatan itu membuktikan BN komited mempertahankan hak masyarakat Orang Asli, bukannya merampas tanah seperti didakwa pihak tertentu.

Beliau berkata, sekiranya BN kembali diberikan mandat mentadbir negeri, antara keutamaan yang akan diusahakan ialah mempercepatkan pewartaan kawasan pertanian masyarakat Orang Asli.

Jalaluddin turut menggesa pengundi di DUN Chennah memberi sokongan kepada calon BN, Siow Kong Choon, pada hari pengundian 1 Ogos ini.

Beliau berkata, kawasan itu memerlukan wakil rakyat yang mampu bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan lebih banyak pembangunan dan bantuan dapat disalurkan kepada penduduk.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata sepanjang menjadi Ahli Parlimen Jelebu, pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan dan pembaikan rumah penduduk telah dilaksanakan menerusi peruntukan kerajaan.

Katanya, masih terdapat beberapa permohonan pembinaan dan pembaikan rumah yang belum dapat diselesaikan, namun beliau memberi jaminan usaha itu akan diteruskan sekiranya BN terus diberikan mandat.

“Masih ada rumah yang belum sempat kita bina dan baiki, tetapi insya-Allah kita akan usahakan dalam masa terdekat.

“Di kawasan ini sendiri masih terdapat keperluan membina 29 unit rumah baharu dan membaiki 11 buah rumah lagi. Saya akan terus membawa amanah ini untuk diselesaikan,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru masyarakat Orang Asli supaya keluar mengundi seawal pagi pada 1 Ogos bagi memastikan kemenangan calon BN di DUN Chennah serta memperkukuhkan kedudukan parti itu di peringkat negeri.

BBerkaitan

Latest articles