Isu Tabung Haji: Rayer Desak Kerajaan Tubuh RCI Sekali Lagi

​KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru supaya menubuhkan sebuah lagi Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) berikutan laporan RCI sedia ada didakwa tidak sempurna serta gagal mengenalpasti pihak yang sepatutnya dipertanggungjawabkan.

​Cadangan tersebut dikemukakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer ketika berbahas mengenai Laporan RCI TH di Dewan Rakyat, pada Isnin.

​Menurut beliau, dapatan laporan RCI yang ditubuhkan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu dilihat tidak menyeluruh kerana tidak mengesyorkan tindakan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kerugian agensi berkenaan.

​”Saya menyarankan agar Perdana Menteri mengadakan satu lagi RCI kerana saya berpendapat laporan sedia ada ini tidak sempurna dan mungkin ada niat tertentu untuk melepaskan pihak-pihak tertentu.

​”RCI baharu ini perlu mengesyorkan secara jelas pihak mana yang bertanggungjawab supaya tindakan susulan seperti pendakwaan di mahkamah dapat diambil,” katanya.

​Mengulas lanjut, Rayer menegaskan bahawa beliau terpanggil untuk membahaskan laporan tersebut demi mempertahankan nasib pendeposit TH yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, termasuk golongan berpendapatan rendah.

​Beliau turut menepis tuduhan pihak pembangkang yang mendakwa DAP cuba merosakkan atau menjual aset-aset milik agensi pengurusan haji itu.

​Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0, kementerian yang diterajui bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyuntik dana berjumlah RM19.9 bilion melalui Syarikat Tujuan Khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd bagi memulihkan kedudukan kewangan TH yang mengalami defisit besar ketika itu.

​”Seringkali DAP dituduh mahu menghapuskan hak orang Melayu dan Islam, namun sejarah membuktikan sebaliknya. Langkah menyelamatkan TH dilakukan ketika Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

​”Malah, Menteri Agama juga telah mengesahkan dalam dewan bahawa tiada satu pun aset Tabung Haji yang dijual kepada syarikat atau individu bukan Islam,” katanya.

​Dalam pada itu, Rayer turut mempertanyakan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih belum mendakwa pihak pengurusan tertinggi TH bagi tempoh 2014 hingga 2018 yang didakwa bertanggungjawab atas salah urus kewangan tersebut.

​Beliau juga mendesak agar tindakan diambil terhadap Ketua Audit Negara yang bertugas pada tempoh berkenaan kerana didakwa mengeluarkan sijil bersih terhadap akaun TH walaupun agensi itu mengalami masalah kewangan yang serius.

​”Ini merupakan satu salah guna kuasa yang serius. Saya minta rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan supaya ikhlas dan menerima hakikat punca sebenar kerugian ini demi kepentingan umat Islam dan pendeposit Tabung Haji,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles