Isu PM: Cadang Pinda Perlembagaan Serlah ‘Bebal’nya Pemimpin PN

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi hari ini menempelak cadangan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mahu Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya jawatan perdana menteri hanya boleh disandang oleh orang Melayu.

Bahkan Mohd Puad melabelkan Ahli Parlimen Machang itu sebagai “bebal”, seperti yang pernah dicadangkan Wan Ahmad Fayhsal berkenaan cetakan wang kertas.

“Inilah bebalnya ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN). Dia pernah mencadangkan Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak banyak wang kertas dan diagih kepada rakyat untuk dibelanjakan.

“Kalau begitu kamu sahaja buat pengumuman iaitu Pemuda Bersatu akan meminda perlembagaan jika PN memerintah nanti. Ada berani? Menyindir tidak bertempat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam, Wan Ahmad Fayhsal dilapor mencadangkan supaya perdana menteri meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.

“Mungkin, dengan cara ini, sedikit sebanyak dapat memulihkan sokongan orang Melayu di negara ini kepada kerajaan campuran pimpinan beliau berbanding memperagakan capal, songkok, cium keris atau bertiwikrama bahasa” katanya.

Sebelum itu, isu sama ada orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri timbul susulan kenyataan ahli politik veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang kepada pelajar Malaysia di United Kingdom bulan lepas.

Kit Siang mencetuskan kontroversi melalui kenyataannya apabila menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

Kenyataan berkaitan ‘Impian Malaysia’ oleh Kit Siang itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia di sana.

Kit Siang antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahu pun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan ‘Impian Malaysia’.

Impian berkenaan, katanya, meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya bukan membawa satu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja.

Beliau juga mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana bukan Melayu daripada menjadi perdana menteri dan berharap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun lagi untuk melihat seorang bukan Melayu berpeluang menjadi perdana menteri.

BBerkaitan

Latest articles