Isu Peruntukan: 17 ADUN PH, Dua Penyelaras Diberi 30 Hari Pulang Wang

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan dua penyelaras DUN daripada pentadbiran terdahulu memulangkan semula peruntukan kewangan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September.

​Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata kesemua yang terlibat diberikan tempoh 30 hari untuk mengembalikan semula wang berkenaan sebaik sahaja menerima surat tuntutan rasmi yang akan dihantar oleh Pejabat Menteri Besar dalam masa terdekat.

​Beliau menjelaskan keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) selepas mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah berkuat kuasa pada 5 Jun lepas.

​”Beberapa ADUN telah memulakan isu kelulusan peruntukan RM180,000 dalam sidang khas DUN baru-baru ini.

“Kelulusan dibuat pada MMK bertarikh 3 Jun dan disalurkan ke akaun 17 ADUN serta dua penyelaras DUN (Labu dan Paroi) pada 4 Jun, iaitu sehari sebelum DUN dibubarkan.

​”Bagi Ahli Exco dan Menteri Besar, mereka masih menjawat jawatan hingga 31 Julai dan layak menggunakan peruntukan bulan Julai.

“Namun bagi ADUN biasa dan penyelaras DUN, mereka tidak lagi mempunyai kelayakan berikutan pembubaran DUN pada 5 Jun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, hari ini.

​Mengulas lanjut mengenai pemulangan wang itu, Ismail memperincikan bahawa tujuh Ahli Exco dikehendaki memulangkan peruntukan berjumlah RM150,000 bagi tempoh Ogos hingga September.

​Manakala 10 ADUN biasa pula perlu memulangkan RM174,000 dan dua penyelaras DUN masing-masing perlu menyerahkan semula RM150,000 bagi tempoh Julai hingga September.

​Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan pelantikan Ketua MIC Bahagian Rembau Datuk VS Mogan sebagai Pegawai Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Sembilan bertaraf Exco, berkuat kuasa 1 September ini.

​Mengenai penyediaan peruntukan kewangan kepada wakil rakyat pembangkang di negeri ini, beliau memaklumkan perkara berkenaan masih belum diputuskan oleh kerajaan negeri.

BBerkaitan

Latest articles