Isu Bekalan Dan Harga Keperluan Seperti Telur, Ayam Jadi Tumpuan Utama – Muhamad Sabu

PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata isu bekalan makanan dengan harga berpatutan memerlukan perhatian serius seiring dengan ramalan ekonomi dunia merosot tahun depan.

Justeru itu, beliau berkata isu bekalan serta harga barangan keperluan seperti telur dan ayam akan menjadi fokus utama kementerian tersebut.

“Perkara pertama yang saya lakukan adalah akan mendengar taklimat sebelum merangka apa-apa perkara manakala benda yang tersedia, diteruskan dan benda baharu akan dibincang bersama pegawai yang sememangnya berpengalaman.

“Saya akan lihat soal harga makanan terutama telur kerana dari golongan miskin sehingga atasan makan telur… Di samping isu ikan dan ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi mengetip kad perakam waktu Menteri sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata, ini cabaran baharu buat dirinya yang pertama kali terlibat dalam bidang kehidupan manusia iaitu membabitkan makanan dan keperluan harian.

Mengulas lanjut, Presiden Amanah itu berkata, pihaknya akan mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku melalui taklimat dalam mencari kaedah terbaik terhadap langkah keterjaminan bekalan makanan.

“Bagi saya apa keterjaminan makanan dengan harga munasabah itu penting. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali membangkitkan isu ini ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan selepas mengangkat sumpah Perdana Menteri.

“Selepas saya mendapat gambaran sebenar dan mencari kaedah terbaik, barulah satu kenyataan bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan dibuat,” ujarnya.

Pada masa sama, Muhamad Sabu berkata, beliau tidak boleh memberi jaminan isu kekurangan bekalan keperluan tidak berulang kembali kerana ia bergantung kepada ekonomi dunia.

BBerkaitan

Latest articles