Isu 3R Tidak Wujud Sebelum PH Jadi Kerajaan – Afnan Hamimi

SEREMBAN: Isu berkaitan Agama, Raja dan Kaum (3R) didakwa tidak pernah wujud mahupun diwujudkan menerusi perundangan khas sebelum Pakatan Harapan (PH) mentadbir dan memegang tampuk pemerintahan negara.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, rakyat Malaysia sebelum ini hidup dalam keadaan aman dan harmonis tanpa menyentuh sensitiviti perkauman atau agama, meskipun berbeza latar belakang.

“Sebelum ini, sebelum ada PH jadi kerajaan atau Kerajaan Madani, tak pernah ada undang-undang atau isu 3R ini.

“Kita hidup aman damai, masyarakat pelbagai kaum boleh duduk sekali dan saling memahami. Tetapi sejak mereka memegang kuasa, isu ini mula dimainkan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Biru-Kan Sikamat di sini, malam tadi.

Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menegaskan, tindakan gabungan itu mempolitikkan isu hak kaum dan agama disifatkan sebagai usaha untuk menyekat kebebasan bersuara, khususnya dalam mempertahankan hak orang Melayu dan keutamaan agama Islam yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kerjasama dan perpaduan politik antara gabungan Melayu-Islam ketika ini sebagai asas utama dalam mempertahankan kedaulatan negara serta keharmonian kaum, tanpa menindas mana-mana pihak.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pengundi untuk menolak naratif yang dibawakan oleh kerajaan PH-BN dan memberikan sokongan padu kepada PN demi mengembalikan pentadbiran yang berintegriti dan stabil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

Kerusi DUN N13 Sikamat menyaksikan saingan sengit tiga penjuru melibatkan Datuk Razali Abu Samah, bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, yang bertanding mewakili PN, menentang calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad, serta Datuk Tun Faisal Ismail Aziz daripada Bersatu.

BBerkaitan

Latest articles