SEREMBAN: Istana Negeri Sembilan dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan berhubung kedudukan Menteri Besar, yang dicapai selepas sesi menghadap pimpinan UMNO bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, petang ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku Muhriz, manakala pihak istana akan memaklumkan hasil pertemuan berkenaan.
“Tuanku akan membuat keputusan dan kita serahkan kepada pihak istana yang akan mengeluarkan kenyataan keputusan yang telah kami capai,” katanya kepada pemberita selepas selesai menghadap di Istana Hinggap, petang ini.
Terdahulu, Zahid bersama beberapa pemimpin UMNO dilihat memasuki Istana Hinggap bagi menghadap Tuanku Muhriz bagi mempersembahkan perkembangan terkini kemelut politik dan pentadbiran negeri itu.
Pertemuan berkenaan susulan tindakan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memberikan mandat kepada kepimpinan UMNO untuk menentukan calon sesuai bagi mengisi jawatan Menteri Besar.
Perkembangan itu turut mencetuskan persoalan sama ada Datuk Ismail Lasim akan terus kekal menerajui pentadbiran negeri atau digantikan dengan individu lain.
Sesi menghadap berkenaan dilihat menjadi titik penting dalam usaha merungkai kemelut politik Negeri Sembilan yang berlarutan hampir empat bulan, khususnya membabitkan kedudukan Menteri Besar dan hubungan dengan institusi istana.
Krisis itu tercetus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lalu, sebelum memuncak apabila Ismail menandatangani proklamasi berkaitan status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada 3 Ogos, sehari selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.










