Hulu Langat ungkap ‘Melayu Sakau’, Putrajaya gesa tarik balik


​KUALA LUMPUR: Suasana Dewan Rakyat bertukar kecoh berikutan kenyataan berunsur perkauman yang dicetuskan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan semasa sesi perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, pagi tadi.

​Kekecohan berlaku ketika Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari sedang membahaskan isu pengurusan dana Tabung Haji serta kaitannya dengan skandal SRC International dan 1MDB.

​Mohd Sany kemudiannya mencelah dengan mengeluarkan kenyataan lantang yang mendakwa wujud pihak yang sengaja menggunakan naratif kaum dan agama bagi melepaskan diri daripada kesalahan salah guna kuasa.

​”Yang Gombak jadi masalah ini kenapa? Tak apalah dia nak curi, nak rompak, nak samun ke, nak sakau… yang penting yang ambil duit itu Melayu! Melayu!

​”Ambillah lagi, curilah lagi, rompaklah lagi… janji Melayu dan Islam. Dalam negara kita ini, Melayu dia boleh rompak, curi, sakau, mentekedarah duit rakyat… janji Melayu dan Islam tak ada masalah,” katanya.

​Kenyataan keras itu segera mendapat bantahan daripada Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yang bangkit mendesak Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor mengambil tindakan mengikut Peraturan Mesyuarat.

​Radzi menegaskan kenyataan Hulu Langat itu merupakan satu tuduhan umum yang tidak wajar dan boleh memberi persepsi negatif terhadap keseluruhan kaum Melayu.

​”Saya minta Hulu Langat tarik balik. Itu satu tuduhan terlalu umum. Ada mana-mana tak kisahlah kaum atau kafir yang terlibat dalam perkara tak baik, tapi jangan generalise pada orang Melayu,” tegasnya.

​Timbalan Speaker yang mempengerusikan sidang kemudian mengarahkan Mohd Sany menarik balik kenyataan tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10) berhubung penggunaan perkataan yang menimbulkan rasa sakit hati dan ketegangan kaum.

​”Dalam pertimbangan saya sebagai hakim di dalam ini, ungkapan menunjukkan sesuatu ras di dalam negara yang boleh menimbulkan ketidakselesaan baik di dalam atau luar dewan adalah sesuatu yang tidak wajar.

​”Saya perintahkan Hulu Langat tarik apa yang dinyatakan berkaitan ras dan agama Islam tersebut,” kata Ramli.

​Meskipun cuba mempertahankan kenyataannya dengan alasan merujuk kepada ‘segelintir’ tokoh pimpinan yang dinamakan dalam laporan RCI, Mohd Sany akhirnya akur selepas diberi amaran keras akan diperintah keluar dewan.

​”Saya tarik balik, cuma saya pembetulkan… segelintir Melayu dan Islam,” kata Mohd Sany.

​Ramli turut memberi amaran tegas kepada semua Ahli Parlimen supaya tidak lagi membangkitkan isu sensitif berkaitan kaum dan agama yang boleh mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.

​Sesi perbahasan kemudiannya dilanjutkan semula oleh Amirudin selepas masa perbahasannya ditambah oleh Timbalan Speaker.

BBerkaitan

Latest articles