Hilang Sokongan Itu Adat Resam Politik – Amiruddin

PKR mampu bertahan di sebalik tindakan tiga Ahli Parlimennya yang mengisytiharkan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), demikian menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau turut menyifatkan apa yang sedang dialami parti berkenaan sebagai adat resam dalam politik yang perlu dihadapi.

Dalam tempoh getir ini, Amiruddin berkata, semua pemimpin parti itu perlu teguh dengan pendirian untuk terus bersama-sama PKR.

“Sebelum tahun 2008 kita hilang Ketua Angkatan Muda, Timbalan Presiden hilang ramai pihak. Alhamdulillah parti ini terus maju sampai 2018.

“Ini resam dalam politik perlu lalui dengan sabar tapi kita harus firm (tegas) dan mengukuhkan tekad dan kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Moden Sri Muda di Seksyen 25 Shah Alam hari ini.

Reaksi itu menyusul selepas Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Bekas menteri zaman Pakatan Harapan (PH) itu turut mengumumkan beliau menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menjadi Ahli Parlimen PKR ketiga yang meninggalkan parti selepas Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) dan Larry Sng Wei Shien (Julai) membuat keputusan meninggalkan parti itu pada bulan lalu dan menyokong PN.

Ditanya mengenai mesyuarat PKR peringkat Kuala Langat yang diadakan semalam sejurus selepas pengumuman Xavier, Amirudin berkata, keputusan telah dibuat dan beberapa perkara perlu diperhalusi pada hari ini.

“Hari ini akan ada mesyuarat PKR di Hulu Langat, menemukan semua Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita dan juga AMK.

“Malam tadi saya jumpa sekitar kepimpinan Biro Politik dan akan mengumumkan keputusan segera. Malam tadi ada keputusan tapi yang hari ini akan lebih baik perbincangan sebab mesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita dan juga AMK,” tambahnya.

Untuk rekod perjumpaan semalam diadakan secara tertutup bagi memastikan keutuhan organisasi parti dan menyusun program di kawasan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles