Hilang Sayang Pada UMNO Selepas Ahmad Zahid Jadi Presiden

KUALA LUMPUR: UMNO tidak lagi boleh menjadi harapan kaum Melayu dan Islam selagi ia dipimpin oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Demikian dakwaan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang kini telah menyertai Bersatu.

Beliau juga menjelaskan keputusannya untuk melompat parti kerana hilang rasa sayang terhadap parti itu selepas diterajui Ahmad Zahid berikutan kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 2018.

“Selagi Presidennya Zahid, saya tak ada rasa sayang. UMNO saya adalah UMNO yang lama, bukan UMNO Zahid, bukan UMDAP. Prinsip perjuangan saya dari dulu sebenarnya Islam, ummah, agama, bangsa dan tanah air.

“Akhirnya kerana peranan, saya pilih Bersatu, itu sebab kenapa saya pilih Bersatu dan kenapa rasa perasaan sayang lepas PRU15 sudah tiada lagi,” katanya.

Bahkan bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa itu juga mendakwa UMNO kini menjadi parti paling lemah dalam kerajaan perpaduan kerana mempunyai presiden yang bermasalah dan mempunyi kes mahkamah.

Tun Faisal juga mendakwa dirinya hilang ‘rasa’ terhadap parti apabila UMNO membuat keputusan menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Beliau mengakui cenderung mahu UMNO menyertai Perikatan Nasional (PN) dan keputusan UMNO bersama-sama PH didakwanya adalah agenda hanya untuk menyelamatkan kedudukan presiden.

“Mereka lebih melihat kepada pertimbangan untuk menyelamatkan Presiden dan kerusi PRU16 berbanding perjuangan Islam dan ummah,” katanya memetik MalaysiaGazette.

BBerkaitan

Latest articles