Helios Solar Malaysia Dilapor sebagai Antara Syarikat Berpotensi dalam Megatrend Tenaga Hijau

KUALA LUMPUR,— Syarikat tenaga boleh diperbaharui dari Malaysia, Helios Solar AG, menjadi perhatian portal pelaburan antarabangsa apabila disenaraikan sebagai antara syarikat yang berpotensi meraih manfaat daripada gelombang transformasi tenaga hijau global yang dipacu oleh dasar Kesatuan Eropah (EU).

Dalam laporan bertajuk “Grüne Energie wird Megatrend! Chancen für Siemens Energy, Nordex, Helios Solar, First Hydrogen und PTX Metals” yang diterbitkan portal Jerman NebenwerteWelt, Helios Solar disebut sebaris dengan syarikat tenaga utama dunia seperti Siemens Energy dan Nordex sebagai antara pemain yang berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui.

Menurut laporan itu, penyenaraian Helios Solar di Bursa Frankfurt bukan sekadar membuka akses kepada pasaran modal Eropah, malah menjadi pemangkin kepada fasa pertumbuhan baharu syarikat dalam memperluaskan projek tenaga solar di Asia dan Eropah.

Portal itu melaporkan Helios kini memberi tumpuan kepada pembangunan projek di Malaysia sebagai pasaran operasi utamanya, selain merancang mengembangkan operasi ke Jerman, Singapura, Kemboja serta beberapa negara Eropah.

Laporan berkenaan turut menonjolkan projek utama Helios di Kelantan yang merangkumi pembangunan taman solar berkapasiti 1,000 megawatt (MW) bersama sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 1,600 megawatt-jam (MWh).

Menurut NebenwerteWelt, projek itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada penjanaan tenaga bersih, malah menggabungkan usaha pemuliharaan biodiversiti dengan mengekalkan sebahagian kawasan sebagai habitat perlindungan Harimau Malaya serta pembangunan ekopelancongan.

Portal itu turut memetik pembangunan platform digital StarPoints, yang membolehkan pelanggan memantau penggunaan tenaga secara masa nyata dan mengakses pelbagai perkhidmatan tenaga digital dalam satu ekosistem.

Menurut laporan berkenaan, pendekatan yang menggabungkan pembangunan tenaga solar, penyimpanan tenaga dan platform digital meletakkan Helios Solar sebagai syarikat yang mempunyai model perniagaan bersepadu dalam sektor tenaga hijau.

NebenwerteWelt turut berpandangan bahawa dengan nilai pasaran sekitar €115 juta, Helios masih mempunyai potensi pertumbuhan, bergantung kepada keupayaan syarikat merealisasikan saluran projek sedia ada kepada pendapatan dan keuntungan yang mampan.

Portal itu menyimpulkan bahawa transformasi tenaga global bukan lagi hanya bergantung kepada syarikat gergasi utiliti, sebaliknya turut membuka peluang kepada syarikat pertumbuhan seperti Helios Solar untuk memainkan peranan penting dalam rantaian nilai tenaga bersih, khususnya ketika Eropah mempercepat agenda dekarbonisasi dan elektrifikasi.

 

BBerkaitan

Latest articles