Hassan Ab Hamid Bakal Dimasyhurkan Sebagai Undang Luak Rembau Ke-22 Sabtu Ini

SERI MENANTI: Pesara kerajaan, Hassan Ab Hamid, 67, bakal dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau Ke-22 menerusi Istiadat Menyalang yang dijadual berlangsung di Istana Besar Seri Menanti pada Sabtu ini.

Pengerusi Kerapatan Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak, Dato Juan, Datuk Zulkipli Shamsudin berkata, pemilihan Hassan dibuat selepas Dato Adat Rembau melalui Buapak Delapan Kampung mengadakan dua kali istiadat kerapatan bagi menentukan calon yang layak mengisi jawatan berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua sesi kerapatan itu mencapai kata sepakat dengan memilih Kampung Tanjong sebagai benih calon Undang Luak Rembau yang baharu sebelum menamakan Hassan untuk memegang jawatan tersebut.

“Melalui muafakat yang dicapai, Haji Hassan Ab Hamid telah dipilih sebagai Undang Luak Rembau Ke-22,” katanya selepas sesi menghadap Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz di Istana Seri Menanti, pada Khamis.

Turut hadir pada sesi berkenaan ialah dua Dato Lembaga serta lima Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak.

Zulkipli berkata, sesi menghadap tersebut diadakan bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, melalui Tunku Besar Seri Menanti untuk mengadakan majlis menjunjung kasih sebagai sebahagian daripada proses adat berkenaan.

Beliau berkata, perkenan telah diberikan bagi pelaksanaan istiadat tersebut yang akan berlangsung pada 27 Jun 2026, jam 2 petang di Istana Besar Seri Menanti.

Istiadat Menyalang merupakan antara proses penting dalam sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan sebelum seseorang calon dizahirkan secara rasmi sebagai Undang Luak Rembau yang baharu.

BBerkaitan

Latest articles