KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar strategi politik, sebaliknya didorong tuntutan agama yang mengutamakan penyatuan umat Islam.
Menurut beliau, pihak yang menafsirkan persefahaman itu hanya sebagai percaturan politik menunjukkan kegagalan memahami konsep perpaduan yang dianjurkan Islam. Malah, beliau menyifatkan golongan terbabit sebagai “jahil murakab”, iaitu individu yang bukan sahaja jahil, malah tidak menyedari kejahilan sendiri.
Pandangan itu dikongsikan menerusi tulisan terbaharunya dalam siri Minda Presiden, yang turut menegaskan bahawa persepsi sedemikian boleh membawa kepada kefahaman agama yang menyimpang.
Pada PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini, BN dan parti-parti dalam PN tanpa Bersatu mencapai persefahaman untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Di bawah pengaturan itu, BN akan bertanding di 25 kerusi, manakala baki 11 kerusi ditandingi parti komponen PN iaitu PAS, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Gerakan dan MIPP.
Sabtu lalu, Hadi turut menggambarkan hubungan kerjasama antara PN dan BN pada pilihan raya berkenaan sebagai “lebih daripada berkahwin”, namun menjelaskan bentuk kerjasama rasmi antara kedua-dua gabungan itu akan terus dinilai dan dimuktamadkan dari semasa ke semasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata Islam meletakkan perpaduan sebagai tuntutan utama kerana perpecahan hanya akan melemahkan kekuatan umat dan menyukarkan mereka berdepan pelbagai cabaran.
Katanya, perpecahan sering berpunca daripada sikap fanatik terhadap kaum, negeri atau mazhab selain kelemahan memahami ajaran Islam secara menyeluruh.
Hadi turut menjelaskan bahawa konsep penyatuan yang diperjuangkan PAS tidak terhad kepada orang Melayu dan Islam semata-mata, malah boleh melibatkan kerjasama dengan masyarakat bukan Islam yang tidak bersikap ekstrem.
Beliau turut mengimbas sejarah kerjasama politik PAS yang pernah bergandingan dengan UMNO, MCA dan MIC, selain membentuk Barisan Alternatif serta Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR.
Bagaimanapun, katanya, PAS menarik diri daripada Pakatan Rakyat selepas DAP terus menolak agenda negara Islam serta pelaksanaan syariat di Kelantan dan Terengganu.
Beliau juga mendakwa PAS kemudiannya memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) kerana gabungan itu didakwa didominasi DAP, selain mengkritik penubuhan Parti Amanah Negara yang disifatkannya sebagai serpihan PAS.










