KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mendesak agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dikenakan tindakan tegas berikutan isu perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Beliau menegaskan bahawa langkah sedemikian rupa perlu diambil segera bagi mengelakkan kementerian-kementerian lain daripada mengulangi kesalahan serupa yang dikhuatiri mampu memudaratkan khazanah serta kestabilan kewangan negara.
Mengulas lanjut, Guan Eng mendedahkan data rasmi yang menunjukkan perbelanjaan KKDW melonjak kepada RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion pada 2023, diikuti RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion pada 2024.
Jelasnya, ia turut disertakan peningkatan kepada RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion pada 2025, menjadikan jumlah lebihan keseluruhan mencecah RM2.1 bilion.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi patut menunjukkan contoh seorang pemimpin yang berjimat cermat dan berhemah dan bukan sebaliknya.
“Jelas sekali Ahmad Zahid Hamidi telah membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan tanpa usul periksa dan patut memberikan penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut membangkitkan persoalan kritikal mengenai identiti kontraktor-kontraktor yang menerima manfaat kontrak di bawah KKDW, serta sama ada pemilihan syarikat terbabit dijalankan mengikut peraturan yang telus, terbuka dan akauntabel tanpa mengetepikan tatacara perolehan rasmi.
Menjelaskan lebih lanjut, Guan Eng menyamakan isu ketidakpatuhan disiplin kewangan itu dengan larangan pengeluaran surat sokongan atau jaminan oleh kementerian selain Kementerian Kewangan bagi mengelakkan wujudnya liabiliti tersembunyi kerajaan.
“Perbuatan sedemikian oleh Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak bertanggungjawab kerana melanggari prosedur dan tatacara kewangan sedia ada, yang boleh mengundang penguatkuasaan undang-undang berkaitan,” ujar beliau.
Guan Eng menegaskan bahawa tindakan membelanjakan wang sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kemampuan negara secara langsung menggugat keselamatan ekonomi nasional.










