GPS Puji PAS Tak Bertanding, Mahu Elak Perpecahan Ummah

KUCHING: Persaingan merebut kerusi pilihan raya tidak seharusnya menjadi punca perpecahan masyarakat, apatah lagi apabila parti yang berkempen hanya berada di Sarawak untuk tempoh singkat sebelum kembali ke tempat masing-masing.

Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan PAS untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 wajar dihargai kerana mencerminkan semangat setiakawan dan keprihatinan terhadap keharmonian masyarakat setempat.

Beliau berkata, hasrat PAS sebelum ini untuk bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Semariang, Sebuyau dan Beting Maro, berpotensi mencetuskan persaingan dalam kawasan majoriti Melayu.

“Alhamdulillah, ini satu semangat setiakawan. Kita tahu apabila mereka (PAS) mahu datang pun bukan bertanding di kawasan bandar, sebaliknya di kawasan majoriti orang Melayu.

“Kenapa hendak dipecahkan ummah?” katanya kepada pemberita pada Program Pengagihan Bakul Makanan di Kampung Moyan Laut, Asajaya, hari ini.

Abdul Karim yang juga penyandang kerusi DUN Asajaya berkata, GPS amat berbesar hati sekiranya keputusan PAS itu dibuat atas pertimbangan menyatukan umat Islam dan mengelakkan perpecahan dalam masyarakat.

Beliau turut menyambut baik pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tidak berhasrat meletakkan calon pada PRN kali ini, selaras persefahaman politik antara UMNO dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak.

Dalam nada tegas, beliau mengingatkan parti politik supaya tidak menjadikan kempen pilihan raya sebagai medan mencetuskan permusuhan yang akhirnya terpaksa ditanggung penduduk tempatan.

Katanya, pemimpin parti dari Semenanjung mungkin pulang selepas tamat pilihan raya, namun masyarakat setempat tetap perlu tinggal berjiran dan meneruskan kehidupan bersama.

“Yang akan tinggal bersama kita ialah saudara kita.

“Kalau sudah berkelahi ekoran kempen dua minggu itu, ia akan menjurus panjang dan lebih lama bermasam muka di kampung.

“Orang yang membuat fitnah dan melaga-lagakan kita pula sudah tiada. Ini yang kita tidak mahu,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu mengambil keputusan tidak bertanding pada PRN Sarawak 2026 selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta beberapa pertimbangan lain.

Beliau berkata, PAS kekal komited memperkukuh perpaduan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

PRN Sarawak ke-13 menyaksikan 82 kerusi DUN dipertandingkan dengan penamaan calon pada 28 November ini, pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember depan.

BBerkaitan

Latest articles