GPS, GRS Sejalan Dengan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited merealisasikan hasrat kerajaan perpaduan untuk membangunkan ekonomi dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof juga menegaskan kedua-dua gabungan Malaysia Timur itu komited kepada kerajaan perpaduan dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Atas dasar sokongan juga, beliau dan Datuk Armizan Ali mewakili GPS dan GRS menghadiri ceramah Pakatan Harapan-Barisan Nasional di Negeri Sembilan, malam tadi.

“GPS, GRS akur untuk menubuhkan kerajaan perpaduan atas satu hasrat, di samping menghormati titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan stabil dan kukuh.”

Fadillah, yang merupakan Ketua whip GPS turut berkata, penting bagi kerajaan negeri untuk sejajar dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan pembangunan negara lebih baik.

Beliau menggesa pengundi Negeri Sembilan menyokong calon BN-PH pada PRN Sabtu ini.

Armizan, menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak, berkata parti dalam kerajaan perpaduan perlu berbangga kerana mereka mampu bekerjasama walaupun mempunyai ideologi berbeza.

Katanya, kehadiran Pengerusi GRS, Hajiji Noor dan rakan sejawatannya dari GPS, Abang Johari Openg pada hari penamaan calon untuk menyokong calon PH-BN bukti komitmen dua gabungan itu kepada kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, pengkritik gabungan perpaduan menyifatkan parti dalam kerajaan umpama “tidur satu bantal, mimpi lain-lain”.

“Saya ingin nyatakan di sini bahawa mimpi kita semua adalah serupa, untuk memastikan Malaysia bangkit, untuk memastikan kita dapat membawa kesejahteraan kepada rakyat.”

BBerkaitan

Latest articles