Giliran Lee Chean Chung Pula Tinggalkan PKR, Parlimen PJ?

PETALING JAYA: Masa depan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dalam PKR terus menjadi tanda tanya apabila beliau memberi bayangan kawasan berkenaan berkemungkinan tidak lagi mempunyai wakil rakyat.

Bayangan itu dibuat selepas beliau mendakwa tiada tindakan diambil PKR terhadapnya meskipun beliau sudah memberikan maklum balas kepada Lembaga Disiplin parti.

Bercakap pada program Bersama di Padang Desa Menteri malam tadi, Lee berkata beliau sebelum ini meminta supaya sebarang hukuman yang sewajarnya dikenakan terhadapnya sekiranya tindakannya dianggap melanggar disiplin parti.

“Saya menjawab dan meminta supaya diberikan satu hukuman yang sewajarnya. Kalau tidak sehaluan, biarlah berpisah secara baik.

“Tetapi, kerana tiada tindakan daripada pihak mereka, kemungkinan besar di Petaling Jaya akan kehilangan seorang Ahli Parlimen,” katanya.

Menurut Lee, sekiranya berlaku keadaan itu, pihak yang memilih untuk meletakkan jawatan tidak wajar dipersalahkan.

Sebaliknya, beliau berpandangan parti perlu mengambil tanggungjawab kerana gagal menangani isu berkaitan disiplin dan tatatertib anggotanya.

Lee merupakan antara Ahli Parlimen PKR yang sebelum ini disekat daripada mengakses portal MyKhas, sistem berkaitan pengurusan peruntukan Parlimen.

Beliau juga menghadiri pelancaran Bersama pada 17 Mei lalu, yang diterajui bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam perkembangan sama, Lee mempertahankan kehadirannya pada program Bersama malam ini walaupun tidak menjadi anggota parti berkenaan.

Beliau mempersoalkan mengapa kehadirannya dipertikaikan sedangkan anggota PKR sendiri boleh menghadiri program anjuran parti politik lain.

“Jika anggota PKR boleh menghadiri program Umno dan sebagainya, mengapa saya tidak boleh hadir program di kawasan saya sendiri?” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika kedudukan beberapa wakil rakyat PKR yang dikaitkan dengan Bersama menjadi perhatian.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, yang turut menghadiri pelancaran Bersama dan sebelum ini dilaporkan menghadapi sekatan akses MyKhas, baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Wong kemudiannya meninggalkan PKR dan menyertai Bersama.

Sementara itu, Lee turut menyatakan sokongan terhadap gesaan DAP supaya peruntukan kawasan diberikan secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti atau gabungan politik.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan agenda reformasi yang dibawa Pakatan Harapan (PH) tidak hanya menjadi slogan.

“Jika PH mahu mempertahankan agenda reformasinya, ia perlu memberikan peruntukan yang adil kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Sebelum ini, pada Jun, Lee mengosongkan jawatannya sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, iaitu badan pembuat keputusan tertinggi parti.

Peletakan jawatan itu berlaku kira-kira seminggu selepas beliau kehilangan akses kepada MyKhas.

Bagaimanapun, ketika itu Lee menegaskan bahawa beliau masih kekal sebagai ahli PKR dan akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.

BBerkaitan

Latest articles