Geng kaya kini berpakat nak jatuhkan kerajaan kata PM

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa beliau menerima pelbagai ugutan daripada ‘geng kaya’ yang sedang berpakat untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya kini.

Tanpa mendedahkan secara terperinci siapa dimaksudkan dengan ‘geng kaya’ itu, Perdana Menteri berkata beliau bagaimanapun tidak terkesan dengan ugutan itu dan akan terus lawan untuk mempertahankan prinsipnya demi rakyat.

Katanya, sepanjang tujuh bulan mentadbir beliau juga tidak menggunakan apa-apa kelebihan untuk memberi kekayaan kepada isteri dan anak-anaknya.

“Saya lalui liku-liku hidup susah dan orang Permatang Pauh juga faham. Ketika ini hutang negara cecah RM1.5 trilion menjadikan keadaan susah.

“Jadi kita perlu bersihkan negara ini daripada kerja-kerja rasuah yang menyebabkan pelbagai ugutan saya terima daripada geng-geng kaya yang sedang berpakat dengan menggunakan agenda ‘Hidup Melayu’.

“Saya tiada masalah (pakatan geng kaya) yang mana saya kini lawan tetap lawan untuk mempertahankan prinsip ini,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri korban di luar perkarangan Masjid Jamek An Nur Kampung Guar Perahu, di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama jemaah masjid berkenaan sebelum meninggalkan majlis.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau juga tidak mempunyai sebarang dendam terhadap mana-mana individu khususnya pemimpin kerajaan terdahulu sepertimana didakwa.

“Orang kata Anwar ini tidak ada kerja lain, cakap pasal rasuah sebab nak balas dendam.

“Saya tak dendam, siapa yang disiasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dia yang jawab dan jelaskan serta bukan saya yang arahkan.

“Ini setiap kali ada kes rasuah, kata Anwar yang arahkan sedangkan (Perdana Menteri) ada banyak kerja lain perlu buat,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut meminta rakyat membuat penilaian dengan adil walaupun mendengar pelbagai ‘cakap-cakap’ luar yang terus menabur fitnah terhadap pentadbirannya.

Tegasnya, rakyat juga harus tahu membezakan antara fitnah dan serangan politik yang kerajaan ketika ini sedang giat memulihkan keadaan negara yang rosak teruk.

“Boleh kritik, bukan semua saya buat betul…adakalanya ada kelemahan yang saya tak tahu, tetapi cerca dan fitnah memang tak boleh…tak kira dia pakai kopiah, ketayap dan kot,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles