KUALA LUMPUR: UMNO kini giat memperkukuh asas perjuangannya dengan menyaksikan peningkatan minat dalam kalangan generasi muda untuk bersama parti itu, sekali gus memberi isyarat kebangkitan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan tersebut menunjukkan wujudnya gelombang baharu yang perlu dimanfaatkan dan diperkasa oleh seluruh jentera parti, khususnya sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Kita melihat ada gelombang baharu dalam kalangan anak muda yang mahu bersama UMNO dan perkara ini perlu diteruskan. Kita harap menjelang PRU-16 nanti, usaha Wanita, Pemuda dan Puteri akan membantu mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 anjuran Wanita UMNO Malaysia hari ini.
Menurut beliau, usaha bersepadu daripada ketiga-tiga sayap itu diyakini mampu membantu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 anjuran Wanita UMNO Malaysia di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad serta Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu yang ditunjukkan oleh ahli dan penyokong, termasuk kehadiran golongan lelaki dalam program anjuran Wanita UMNO.
Beliau menyifatkan kehadiran itu sebagai manifestasi solidariti serta sokongan keluarga terhadap perjuangan parti.
Suasana majlis turut bertukar gamat apabila beliau mengumumkan peningkatan mendadak hadiah utama pertandingan nasyid tersebut daripada RM3,000 kepada RM30,000, berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman itu mencetuskan sorakan dan tepukan gemuruh dalam kalangan hadirin, khususnya anggota Wanita UMNO yang jelas teruja dengan berita berkenaan.
Ahmad Zahid menjelaskan, keputusan menaikkan jumlah hadiah dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen tinggi para peserta yang sanggup berkorban dari segi masa dan kewangan demi memastikan persembahan terbaik di pentas akhir.
Beliau turut menegaskan bahawa seni nasyid masih relevan dan berupaya menarik minat masyarakat termasuk generasi muda, selain berperanan sebagai medium dakwah dan penyatuan komuniti.
“Kita bukan sekadar menyaksikan sebuah pertandingan, tetapi meraikan bakat, memperkasa suara wanita dan mengukuhkan ukhuwah sesama kita,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan penganjuran program tersebut membuktikan kemampuan Wanita UMNO mengendalikan acara berskala besar di peringkat kebangsaan, dengan penyertaan melibatkan wakil dari 10 negeri.










