Gajah Pygmy Dipenggal, Gading Dibawa Lari

TONGOD: Seekor gajah Pygmy Borneo ditemukan mati dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya dipenggal sebelum bangkainya ditinggalkan di kawasan Hutan Simpan Pinangah, Tongod, dalam kejadian yang dipercayai mempunyai unsur jenayah hidupan liar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden kejam itu dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Menurut beliau, pemeriksaan awal dilakukan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, renjer komuniti dan pihak ladang berhampiran lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 17 Mei selepas saksi di kawasan ladang mendengar bunyi letupan kuat, namun pemeriksaan lanjut ketika itu terhalang akibat keadaan cuaca,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keesokan harinya pasukan ladang menemukan bangkai seekor gajah jantan Borneo, Bornean elephant, dengan sebahagian kepala serta gading dipercayai telah dipotong dan dibawa lari.

Katanya, laporan segera kemudian dibuat kepada pihak berkuasa sebelum pasukan Jabatan Hidupan Liar digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala yang dipercayai disebabkan penggunaan senjata tajam.

“Setakat ini tiada kesan tembakan ditemukan, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian dan individu terlibat,” katanya.

Tambah beliau, beberapa bahan bukti turut ditemui di lokasi termasuk kotak rokok dan botol air yang kini diserahkan kepada pihak berkuasa untuk dianalisis.

Susulan kejadian itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah turut memperketat kawalan keselamatan menerusi operasi sekatan jalan raya bersama polis serta meningkatkan rondaan di kawasan terlibat bagi membendung aktiviti pemburuan haram.

BBerkaitan

Latest articles