Gagal Jawab Surat Arahan, Bersatu Gugur Keahlian 7 Wakil Rakyat Serta-Merta

KUALA LUMPUR: Keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu terlucut serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menyatakan kesetiaan mereka kepada parti itu.

BH melaporkan kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang menjelaskan ia diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini.

“Parti sudah bermesyuarat. Mereka (enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN) gugur keahlian automatik,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai keputusan parti dan tindakan terhadap enam Ahli Parlimen serta dua ADUN yang dipercayai tidak memberi respon terhadap surat arahan MPT itu.

Surat arahan itu dikeluarkan Bersatu kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaan terhadap parti, yang dibuat susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan semalam berkata, seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 ADUN Bersatu sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.

Ia bermakna enam Ahli Parlimen iaitu mereka yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti diarahkan Bersatu.

Bersatu kini memiliki 31 Ahli Parlimen dan enam Ahli Parlimen yang dimaksudkan itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Daripada 60 ADUN Bersatu, dua yang tidak mengemuka maklum balas surat arahan itu adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari, sementara seorang lagi adalah Mohd Azizi, yang juga ADUN Nenggiri di Kelantan.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Wan Ahmad Fayhsal mengesahkan Bersatu akan sekali lagi membawa keputusan berkaitan kedudukan wakil rakyatnya itu kepada pengetahuan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.

“Ya,” katanya ketika diminta mengesahkan sama ada Bersatu akan sekali lagi mengemuka notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi menentukan kedudukan semua wakil rakyat berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles