‘Forum Isu Tabung Haji Sebenarnya Bertujuan Politikkan RCI-TH’

​KUALA LUMPUR: Forum bertajuk “Realiti & Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji” yang dihadiri majoriti pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) semalam, didakwa sebagai platform yang sengaja diwujudkan bagi melemahkan kredibiliti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

​Bekas pemimpin UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, forum tersebut menyaksikan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menubuhkan badan khas untuk menyiasat pengurusan Tabung Haji, manakala Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula mahukan penubuhan RCI 2.0.

​Bagaimanapun, beliau membangkitkan persoalan kerana kedua-dua gabungan politik itu sendiri terlibat ketika RCI asal ditubuhkan.

​”Laporan RCI TH itu membuktikan wujud salah tadbir urus. Maka biarlah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) teruskan siasatan.

“Oleh itu perlukah PAC? Apakah PAC ada bidang kuasa macam SPRM dan PDRM?” soal beliau menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

​Tambah beliau, cadangan penubuhan RCI 2.0 juga tidak diperlukan memandangkan siasatan pihak berkuasa sudah bermula dan individu berjawatan CEO turut telah direman.

​”Kita tunggu kalau ada sakau. Kita juga hairan Tan Sri Madinah di forum tersebut mengaku, dia tidak faham makna sakau.

“Justeru jangan lagi buang masa. RCI 2.0 dan PAC hanya strategi untuk melengah-lengahkan tindakan undang-undang,” ujarnya.

​Puad turut mendakwa Tan Sri Madinah tidak berani menjawab soalan media sama ada laporan RCI itu akan berbeza sekiranya keterangannya diambil oleh pihak RCI.

​”Jelas forum itu yang sebenarnya mempolitikkan isu RCI-TH,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles