KUALA LUMPU: Isu pertukaran format Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji tidak sepatutnya timbul kerana perkara itu sudah dimaklumkan lebih awal menerusi surat rasmi.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, surat daripada Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) bertarikh 30 Julai lalu jelas menyatakan bahawa urusan mesyuarat pada 11 Ogos adalah Penerangan daripada Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i).
Penjelasan itu sekali gus menjawab persoalan berhubung tindakan beliau dan Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memilih untuk kekal berada di dalam dewan berbanding mengambil tindakan keluar (walkout).
”Dalam surat itu turut dinyatakan bahawa Speaker Dewan Rakyat telah membenarkan Ahli-ahli Yang Berhormat meminta penjelasan dan memberikan pandangan mengenai Penerangan daripada Menteri.
”Jadi, cerita bahawa tiba-tiba format mesyuarat khas ditukar jadi sesi penerangan Menteri tidak seharusnya timbul,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Mengulas lanjut, Naib Presiden Bersatu itu menjelaskan, pertimbangan untuk kekal di dalam dewan dibuat atas dasar tanggungjawab dan amanah sebagai wakil rakyat untuk membahaskan isu kepentingan awam tersebut secara berfakta.
Beliau menambah, pihak Bersatu sebenarnya berpandangan tempoh perbahasan sehari adalah terlalu singkat lalu mengemukakan surat kepada Perdana Menteri bagi memohon sesi dilanjutkan sekurang-kurangnya dua hari, namun ketetapan kekal sehari dengan peniadaan waktu rehat.
”Kami buat persediaan rapi. Setiap daripada kami membaca Laporan RCI Tabung Haji dengan teliti, mengadakan perbincangan dan menyemak fakta-fakta utama.
”Ruang untuk berbahas, mendapatkan penjelasan dan memberi pandangan dalam isu berkaitan Tabung Haji ini amat penting,” katanya.
Radzi turut menegaskan bahawa perbahasan RCI tersebut perlu dijadikan titik tolak kepada pembaikan kawal selia institusi pengurusan dana rakyat yang lain secara menyeluruh.
”Bukan sahaja Tabung Haji, tetapi juga institusi seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB),” katanya.










