Penyelidikan Universiti Perlu Beri Manfaat Kepada Rakyat – Zambry

PUTRAJAYA: Universiti perlu memperkukuh kerjasama dengan industri, pembuat dasar dan masyarakat supaya hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada inovasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau menyifatkan universiti sebagai pusat pemikiran negara yang berperanan menghimpunkan ilmu dan kepakaran untuk mencorakkan masa depan Malaysia.

Festival of Ideas (FOI) 2026, katanya, menyediakan ruang untuk pihak di dalam dan di luar kampus bertukar pandangan serta menjalin kerjasama.

“Kita mahu meruntuhkan tembok pemisah antara semua pihak agar penyelidikan tidak terhenti di makmal, sebaliknya diterjemah kepada inovasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian FOI 2026 di sini, hari ini.

Zambry berkata festival itu turut membuka ruang kepada orang ramai untuk menyumbang pandangan.

Beliau menyebut lebih tiga juta penglibatan awam dan kira-kira 10,000 idea telah direkodkan, yang menurutnya menyediakan asas untuk memperluas penyertaan masyarakat.

Katanya, resolusi utama FOI 2026 akan dihimpunkan dengan sekurang-kurangnya 10 agenda utama untuk dikemukakan kepada Jemaah Menteri. Jawatankuasa Kabinet bagi festival itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyempurnakan perasmiannya.

Festival edisi ketiga itu menampilkan 16 sesi perbincangan yang menghimpunkan 72 tokoh dan pembentang.

Delegasi dari Filipina, Indonesia, Turkiye dan Kazakhstan turut menyertainya bagi memperkukuh pertukaran ilmu dan kerjasama antarabangsa.

Mengulas tema Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani, Zambry berkata Malaysia perlu membina keupayaan untuk mencipta dan meneroka teknologi dalam bidang seperti kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum, tenaga hijau dan keselamatan siber.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan teknologi perlu berpaksikan nilai kemanusiaan.

Katanya, masyarakat kini semakin mudah berhubung dan memperoleh maklumat, namun masih berdepan masalah keterasingan.

Universiti, menurutnya, berperanan mempertemukan kemajuan teknologi dengan ilmu dan pertimbangan tentang kesannya terhadap manusia.

BBerkaitan

Latest articles