LTAT Diminta Jelaskan Pemilihan Achi Jaya Ambil alih BPlant Bernilai Hampir RM4 Bilion

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan (LTAT) diminta memberikan penjelasan segera berhubung pemilihan Achi Jaya Plantations Sdn Bhd bagi mengambil alih kepentingan dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant) menerusi transaksi dianggarkan hampir RM4 bilion.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pemilihan syarikat berkenaan menimbulkan beberapa persoalan, khususnya apabila operasi perladangannya dilaporkan jauh lebih kecil berbanding dua pesaing lain iaitu SD Guthrie dan Tradewinds Plantation.

Beliau mempersoalkan asas penilaian yang menyebabkan Achi Jaya diberikan keutamaan dalam proses pengambilalihan berkenaan.

“Apakah asas penilaian yang menyebabkan syarikat ini dilaporkan diberikan keutamaan?” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan laporan media yang memetik penyata kewangan 2024, Achi Jaya merekodkan hasil sebanyak RM379 juta, keuntungan selepas cukai RM109 juta dan aset semasa RM93 juta.

Justeru, katanya, struktur pembiayaan transaksi bernilai hampir RM4 bilion itu perlu diperjelaskan, termasuk sumber dana serta jaminan pembayaran bagi memastikan kemampuan syarikat melaksanakan pengambilalihan berkenaan.

Ahmad Fadhli turut menggesa LTAT mendedahkan struktur pemilikan benefisial terkini Achi Jaya bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan sebarang kemungkinan konflik kepentingan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan LTAT supaya tidak mengulangi kelemahan tadbir urus pelaburan yang pernah didedahkan menerusi laporan audit sebelum ini.

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan 2022 mendedahkan penjejasan nilai pelaburan sebanyak RM812 juta yang tidak direkodkan melibatkan Boustead Holdings dan Pharmaniaga, selain rizab negatif RM338 juta serta kerugian tidak nyata RM662 juta dalam 41 portfolio saham lama.

“Laporan audit yang sama turut mendedahkan keuntungan bukan tunai RM189 juta yang digunakan sebagai asas pembayaran dividen tahun 2022.

“Teguran audit berhubung risiko kecairan tunai dan pengurusan pelaburan sepatutnya menjadi pengajaran penting dalam setiap keputusan korporat LTAT,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta LTAT mendedahkan perbandingan nilai tawaran daripada ketiga-tiga syarikat terbabit, kriteria pemilihan, status kelulusan serta justifikasi kewangan yang membuktikan transaksi berkenaan memberikan manfaat terbaik kepada pencarum.

Tegasnya, LTAT bukan institusi pelaburan biasa kerana memegang amanah terhadap simpanan dan masa depan anggota serta pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sebarang pelupusan aset strategik bernilai berbilion ringgit mesti dilaksanakan secara telus, berhemah dan berpaksikan kepentingan pencarum,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles