UMNO Negeri Sembilan Tidak Dimaklumkan Hasrat Ismail Letak Jawatan

SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan mendakwa tidak dimaklumkan secara langsung oleh Datuk Ismail Lasim mengenai hasrat beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, sebaliknya hanya mengetahui perkara itu daripada kepemimpinan tertinggi parti.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Ismail yang juga Timbalan Pengerusi UMNO negeri tidak pernah memaklumkan perkara berkenaan kepadanya atau kepemimpinan UMNO negeri.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini, hari ini, yang turut dihadiri ADUN Perikatan Nasional (PN).

Mengulas dakwaan Ismail dipaksa berundur, Jalaluddin enggan mengulas lanjut dan menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus berjalan lancar.

Beliau turut menghormati keputusan Ismail serta merakamkan penghargaan atas khidmat dan sumbangan beliau sepanjang menerajui kerajaan negeri.

Mengenai pengganti Menteri Besar, Jalaluddin berkata perkara itu tertakluk kepada cadangan kepemimpinan tertinggi parti dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau turut menyeru semua pihak bertenang dan menghormati proses yang sedang berlangsung demi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles