Anak Ismail Dakwa Ada Pihak Cuba Jadikan Bapanya ‘Kambing Hitam’?

SEREMBAN: Kemelut peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, terus mencetuskan tanda tanya apabila anaknya tampil mempersoalkan pihak yang mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan berkenaan.

Menerusi satu hantaran di Instagram menggunakan akaun ‘naimismaill’, beliau seolah-olah membayangkan wujud perkara yang belum terungkai di sebalik perkembangan mengejut itu, khususnya mengenai pihak yang mendakwa bapanya sudah mengambil keputusan untuk berundur.

Beliau mempersoalkan sama ada kenyataan peletakan jawatan itu benar-benar dibuat sendiri oleh Ismail atau sebaliknya diumumkan oleh pihak parti tanpa penjelasan yang sewajarnya.

“Siapa yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan sendiri yang membuat kenyataan tersebut?

“Kalau bukan, atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?” katanya.

Lebih menarik, beliau turut membangkitkan dakwaan bahawa bapanya sudah mematuhi segala arahan parti sejak awal, namun kesudahannya menimbulkan kekecewaan.

Dalam nada tegas, beliau mengingatkan supaya tiada pihak mengambil kesempatan daripada kemelut itu dengan meletakkan kesalahan kepada individu tertentu bagi melindungi kepentingan pihak lain.

“Belum apa-apa selesai dah ada usaha untuk menjatuhkan orang sendiri.

“Jangan kerana kepentingan pihak tertentu orang lain dijadikan kambing hitam. Kalau betul nak menjaga parti, jangan sampai orang sendiri diperlakukan macam ini,” katanya.

Beliau turut menyindir pihak yang didakwa cuba menggambarkan seolah-olah hanya satu pihak bertanggungjawab terhadap kemelut berkenaan, sedangkan semua pihak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Hantaran itu sekali gus mengundang persoalan mengenai kemungkinan wujud percanggahan naratif antara pihak parti dengan pihak Ismail berhubung status sebenar peletakan jawatan berkenaan.

Terdahulu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO telah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkuat kuasa Isnin.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan kemudian memaklumkan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan yang dikatakan ditandatangani Ismail itu.

Pengelola Bijaya Diraja dalam kenyataan media turut menjelaskan bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar dan hanya berkuat kuasa selepas diterima serta diperkenankan baginda.

BBerkaitan

Latest articles