PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini berdepan beban hutang hampir RM10 bilion yang didakwanya berpunca daripada salah urus pentadbiran serta campur tangan politik yang berlebihan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, Felda suatu ketika dahulu muncul sebagai antara syarikat perladangan terbesar di dunia apabila diterajui tokoh seperti Raja Alias Raja Muhammad Ali dan Allahyarham Taib Andak, sekali gus mencatat keuntungan berbilion ringgit setiap tahun.
Katanya, kejayaan itu membolehkan para peneroka menikmati pulangan lumayan hasil pembangunan tanah rancangan yang diusahakan secara sistematik dan berkesan.
Namun, Anwar menegaskan kemerosotan prestasi Felda bukan disebabkan kegagalan peneroka menjalankan tanggungjawab mereka, sebaliknya berpunca daripada individu yang diberi amanah mengurus agensi berkenaan tetapi gagal melaksanakannya dengan jujur.
“Peneroka bukan tidak bekerja kuat. Masalahnya ialah mereka yang diamanahkan mengurus telah mengkhianati amanah itu.
“Lapan tahun lalu berlaku perubahan dalam keputusan pentadbiran dengan campur tangan politik yang keterlaluan. Akhirnya, agensi yang pernah mencatat keuntungan kini menanggung kerugian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, seperti dipetik Berita Harian.
Anwar turut memaklumkan beliau kini mengambil tanggungjawab untuk memantau dan memperkukuh semula pengurusan Felda selepas menerima laporan mengenai kedudukan kewangan agensi itu yang dibelenggu hutang hampir RM10 bilion.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan generasi muda agar terus mempertahankan keamanan negara serta menolak sebarang usaha yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, kestabilan negara hanya dapat dikekalkan sekiranya kepimpinan Melayu, institusi Raja-Raja Melayu dan institusi utama negara terus dipelihara berasaskan nilai integriti, amanah serta tadbir urus yang baik.










