KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) sudah menerima hakikat akan terus menjadi pembangkang di Dewan Rakyat selama sepenggal.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga menafikan wujudnya langkah Tropicana seperti yang didakwa untuk menjatuhkan kerajaan hari ini.
Tegasnya PN akan terus menjadi semak dan imbang yang terbaik buat kerajaan hari ini.
“Tak ada. (Langkah Tropicana). Saya tak nak kata ia tak mungkin berlaku.
“Saya bukan manusia sempurna yang boleh melihat masa depan,” katanya memetik MalaysiaGazette, sebagai respons terhadap Langkah Tropicana yang menjadi bualan ramai kerana dikatakan akan menukar keputusan sedia ada pada 19 Disember ini.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinet sudah mengangkat sumpah dan harus menjalankan kerja demi kepentingan rakyat.
“Kalau semua berjalan dengan baik, rakyat boleh memberi sokongan dan hidup dengan senang, tiada masalah kesesakan lalu lintas, tiada masalah walaupun harga minyak tak turun-turun, tetapi rakyat tidak rasa susah, mereka (kerajaan) patut diberikan peluang,” ujarnya.
Beliau berkata, PN akan terus memantau setiap perjalanan kerajaan.
“Kita nampak sekarang ini terlalu banyak sangat nak usik penjawat-penjawat awam, tapi kalau lebih kepada temolok mereka, kita akan persoalkan.
“Rakyat hari ini bukan calang-calang dan kita akan terus bersuara jika ada yang tidak kena,” katanya.
Sidang Dewan Rakyat pada esok akan membentangkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.
Ia bagi membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap Anwar, sekali gus memperkukuh kestabilan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Agenda ini juga merupakan susulan daripada kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini meminta Anwar membuktikan sama ada mempunyai sokongan majoriti.