PALONG: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil, menempelak kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang didakwanya cuba membentuk persepsi bahawa PH tidak mempunyai pemimpin yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.
Menurut Fahmi, dakwaan sedemikian tidak berasas kerana PH dianggotai ramai pemimpin Melayu beragama Islam yang sentiasa mengambil berat terhadap isu melibatkan kedua-dua perkara itu, termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, serta beberapa pemimpin kanan lain.
Beliau turut menyenaraikan nama seperti Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai antara tokoh Melayu-Islam dalam PH yang sentiasa peka terhadap kepentingan masyarakat.
“Anwar Ibrahim bukan Melayu Islam? Mohamad Sabu bukan Melayu Islam? Dzulkefly Ahmad, Amirudin Shari dan Aminuddin Harun juga bukan Melayu Islam?
“Saya harap hentikan permainan persepsi seperti ini. Jangan sampai timbul gambaran seolah-olah PH langsung tidak mempunyai pemimpin Melayu-Islam yang mempertahankan kepentingan masyarakat,” katanya ketika berucap pada satu program di Felda Palong 2.
Fahmi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Khairy yang mendakwa sebahagian ahli UMNO melihat kerajaan Persekutuan kurang sensitif terhadap isu melibatkan orang Melayu selain gagal memenuhi beberapa janji yang pernah dibuat.
Khairy turut menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai mesej politik kepada PH.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata beliau sendiri amat memahami sentimen dan keperluan masyarakat Melayu serta Islam, malah dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai sejarah perjuangan bersama UMNO.
Katanya, arwah datuk dan neneknya merupakan penyokong tegar parti itu dan aktif memperjuangkan nasib orang Melayu serta Islam, justeru tidak timbul soal beliau mengabaikan kepentingan tersebut.
“Sebagai seorang Melayu, saya juga sangat peka terhadap isu berkaitan Melayu dan Islam. Jangan anggap hanya Khairy sahaja yang memahami atau boleh bercakap mengenai perkara ini,” katanya.










