DUN Sarawak Bubar Minggu Ini? Pengumuman Abang Johari Jadi Tumpuan

KUCHING: Spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semakin hangat apabila timbul dakwaan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, bakal membuat pengumuman penting Jumaat ini.

Malah, terdapat kemungkinan DUN Sarawak dibubarkan lebih awal, termasuk hari ini, yang merupakan hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sarawak ke-19, menurut laporan Berita Harian.

Perkembangan itu mencetuskan persoalan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bakal diadakan dalam masa terdekat bagi menentukan mandat baharu kerajaan negeri.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai tarikh pembubaran DUN atau pengumuman yang dijangka dibuat Abang Johari.

DUN Sarawak akan terbubar secara automatik pada Disember ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, manakala PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, sebelum ini menjangkakan PRN boleh berlangsung pada Disember, dengan tempoh antara 12 hingga 19 Disember dilihat sesuai.

Pada PRN 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh kemenangan besar dengan menguasai 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan, manakala DAP memenangi dua kerusi dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) empat kerusi.

Bagaimanapun, kedudukan politik negeri berubah selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How, meninggalkan PSB untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyatakan sokongan kepada Abang Johari.

PSB kemudian dibubarkan selepas pemimpin serta ahlinya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), parti komponen GPS.

Susulan perkembangan itu, DUN Sarawak kini dianggotai 79 ADUN GPS, seorang wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan dan dua ADUN DAP sebagai pembangkang.

BBerkaitan

Latest articles