PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah menegaskan beliau menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang menangguhkan keputusan rayuan membabitkan tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sehingga 13 Julai depan.
Bella mengakui penangguhan itu bukan sesuatu yang dijangkakan, namun percaya proses perundangan perlu dihormati dan berharap segala urusan akan berakhir dengan keputusan yang baik.
“Saya hormati keputusan mahkamah sebab ada perkara yang kita tidak boleh jangka. Jadi, saya hormat sahaja keputusan mahkamah. Doakan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.
Mengulas sama ada penangguhan tersebut memberi kesan kepada persiapan perkahwinan mereka, Bella enggan mengulas lanjut sebaliknya mengulangi pendiriannya untuk menghormati segala keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
Dalam pada itu, Bella turut menzahirkan komitmennya untuk terus berada di sisi Syed Saddiq sepanjang menanti keputusan rayuan yang dijadual diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.
“Semoga tabah. Insya-Allah saya sentiasa beri sokongan,” katanya ringkas.
Terdahulu, Bella memaklumkan beliau mengosongkan jadual kerjanya pada hari berkenaan bagi menemani dan memberi sokongan moral kepada tunangnya sepanjang prosiding berlangsung.
“Saya ada kerja hari ini. Selepas ini hendak pergi makan tengah hari, kemudian terus pergi kerja,” katanya.
Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 13 Julai depan sebagai tarikh keputusan rayuan Syed Saddiq berhubung sabitan dan hukuman dalam kes berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).










