DKU Putuskan Tiga Individu Tiada Kuasa Sah Sebagai Undang, Sahkan Pelantikan Dua Undang Baharu

SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan memutuskan tiga individu yang sebelum ini dikaitkan dengan jawatan Undang Luak tidak mempunyai sebarang kedudukan atau kuasa yang sah di sisi undang-undang, sekali gus mengesahkan segala tindakan mereka selepas tarikh tertentu sebagai tidak sah.

Keputusan itu dibuat dalam persidangan DKU yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semalam.

Dalam kenyataan pada Sabtu, DKU memaklumkan tiga individu terbabit ialah Mubarak Thahak yang dikaitkan dengan jawatan Undang Luak Sungai Ujong, Abdul Rahim Yasin (Undang Luak Rembau) dan Datuk Maarof Mat Rashad (Undang Luak Jelebu).

Menurut DKU, penyandang Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Jelebu masing-masing telah diberhentikan mengikut adat luak berkenaan, manakala pelantikan Abdul Rahim sebagai Undang Luak Rembau pula tidak pernah disempurnakan mengikut adat serta tidak melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang.

Susulan itu, ketiga-tiga mereka diputuskan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan fungsi atau bidang kuasa di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Persidangan berkenaan turut memenuhi syarat korum apabila dihadiri Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Seri Menanti seperti diperuntukkan di bawah Fasal 20 UUTKNS.

Dalam perkembangan sama, DKU menerima keputusan Waris, Anak Buah dan Ibu Soko Waris Berundang daripada tiga Perut Kemin iaitu Kemin Teriang, Kemin Beringin dan Kemin Bemban yang memecat Datuk Maarof Mat Rashad sebagai penyandang pusaka Undang Luak Jelebu Ke-16.

Menurut DKU, pemecatan itu berkuat kuasa pada 31 Mei 2023 atas kesalahan adat yang telah dihuraikan.

Sehubungan itu, jawatan Undang Luak Jelebu disahkan kosong bermula tarikh berkenaan dan semua tindakan yang dibuat oleh Maarof selepas itu dianggap tidak sah.

DKU turut memutuskan Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) yang digunakan beliau ketika menyandang jawatan berkenaan terbatal secara automatik.

Sementara itu, DKU turut menerima makluman daripada Ibu Soko dan Anak-Anak Waris Ayer Luak Sungai Ujong bahawa penyandang pusaka Datuk Shahbandar, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid, telah dilucutkan mengikut Adat Luak Sungai Ujong berkuat kuasa Khamis lalu.

Berdasarkan Perkara XV(1) UUTKNS, jawatan Datuk Shahbandar Sungai Ujong kini disahkan kosong, namun proses pelantikan pengganti masih belum dimuktamadkan mengikut adat luak.

Pada masa sama, persidangan DKU mengesahkan pelantikan dua Undang Luak baharu iaitu Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong dan Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau.

Menurut kenyataan itu, kedua-duanya telah melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang pada 27 Jun lalu mengikut adat luak masing-masing, sekali gus menjadikan pelantikan mereka sah.

DKU turut mengisytiharkan satu dokumen bertarikh 19 April 2026 sebagai tidak berperlembagaan kerana melanggar Perkara X UUTKNS.

Justeru, pengumuman yang dibuat menerusi dokumen tersebut diputuskan tidak sah serta tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang.

Dalam pada itu, DKU mengarahkan Kerajaan Negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi melaksanakan segala keputusan dan ketetapan yang diputuskan dalam persidangan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles