Sambutan Rakyat Melaka Terhadap BN Baik, Isu Najib Tidak Jejas Sokongan

JASIN: Sambutan positif masyarakat Melaka terhadap kempen Barisan Nasional (BN) setakat ini memberi petunjuk bahawa isu politik nasional, termasuk kontroversi penangguhan pelaksanaan tahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak, tidak menjejaskan momentum parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata pemerhatiannya sepanjang dua hari berada di negeri itu mendapati pengundi memberikan respons baik terhadap kempen BN.

Beliau yakin pengundi lebih mengutamakan pemilihan calon serta kemampuan kerajaan negeri membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat berbanding polemik politik di peringkat nasional.

“Saya rasa tidak (menjejaskan sokongan). Saya sudah dua hari berada di Melaka dan saya melihat orang Melaka membuat keputusan berdasarkan masa depan negeri mereka.

“Berita nasional itu mereka tahu, tetapi yang lebih penting bagi mereka ialah memilih calon dan pentadbiran kerajaan negeri yang boleh membangunkan Melaka serta menjaga kesejahteraan dan kebaikan rakyatnya,” katanya Ketika ditemui pada program Jom Jogging Bersama KJ di Kampung Parit Penghulu, hari ini.

Khairy berkata, sambutan terhadap kempen BN juga memberangsangkan berdasarkan program turun padang bersama calon parti itu di beberapa kawasan.

“Sambutan sangat baik dan semalam pun di empat kawasan yang saya kunjungi, sambutannya alhamdulillah. Jadi, kita kekalkan momentum ini dengan terus mendampingi pengundi,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan calon BN DUN Sungai Rambai, Jezlee Pit.

BBerkaitan

Latest articles