Didesak Letak Jawatan, Peja Terbuka Beri Ruang Kepada Pemimpin Negeri

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia melepaskan jawatannya seperti yang didesak beberapa pimpinan negeri berkenaan.

Ujarnya, pemimpin tempatan boleh mengisi kekosongan jawatan itu nanti.

Bahkan Timbalan Presiden Bersatu itu memberitahu akan memaklumkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan gabungan berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut.

“Saya berpandangan, jawatan tersebut boleh dipikul oleh anak tempatan,” katanya, memetik laporan Astro Awani.

Faizal dilantik memegang jawatan itu menggantikan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith yang digugurkan pada Jun lalu.

Semalam, Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha dilaporkan menyarankan Faizal meletak jawatan jika tidak lagi berminat untuk menjalankan tugas.

Bekas menteri besar Perak itu dilihat tidak memainkan peranannya sebaik mungkin di Negeri Sembilan usai PRN Ogos lalu.

PN hanya menang lima daripada 36 kerusi ditandingi iaitu Paroi, Bagan Pinang, Serting, Gemas dan Labu pada pilihan raya itu.

BBerkaitan

Latest articles