Di Sebalik Tirai Besi, Najib Sambung Pengajian Peringkat PhD

KUALA LUMPUR: Walaupun sedang menjalani hukuman penjara, namun ia tidak menghalang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah.

Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung perkembangan terkini bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib sedang dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah dalam kes melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Muhammad Shafee memberitahu, Najib kini mula menulis tesis dan beroleh bahan bacaan yang dibawa oleh pembantunya setelah melepasi tapisan pihak penjara.

“Saya gembira melihat beliau melakukan sesuatu,” jelasnya.

Muhammad Shafee berkata demikian di dalam temubual Podcast bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Dalam pada itu beliau juga diajukan persoalan sama ada Najib benar-benar berada di penjara atau sebaliknya seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Beliau berada di dalam penjara tetapi atas isu keselamatan, beliau diasingkan sebab kalau beliau bersama-sama dengan orang lain, apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee memaklumkan pihaknya akan mengemukakan surat kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi) berhubung permohonan pengampunan diraja terhadap Najib.

Ini kerana pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Secara sopan kita akan membangkitkan perkara itu agar dipersembahkan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles