G57 Desak SPRM Teliti Semula Kertas Siasatan Kes Dana Sabah RM1.5 Bilion

PUTRAJAYA: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar hari ini menyerahkan memorandum rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak agensi itu membuka dan meneliti semula kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah berjumlah RM1.5 bilion.

​Kes berkenaan membabitkan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika beliau menerajui kementerian tersebut dari tahun 2009 hingga 2015.

​Zulkarnain berkata, memorandum itu diserahkan sendiri kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Beliau hadir dengan ditemani peguam kanan serta wakil pertubuhan belia dan anak muda Sabah.

​”Tindakan saya menyerahkan memorandum kepada SPRM pada hari ini bukanlah berdasarkan khabar angin atau persepsi semata-mata, sebaliknya ia disertakan dengan laporan media, dokumen sokongan dan bahan rujukan berkaitan,” katanya pada sidang media hari ini.

​​Menurut Zulkarnain, tindakan itu diambil susulan desakan ramai pihak yang mahukan ketelusan memandangkan kes tersebut melibatkan peruntukan wang rakyat yang sangat besar.

Selain siasatan utama, memorandum berkenaan turut memohon SPRM meneliti semula beberapa projek pembangunan luar bandar di Sabah, termasuk projek bekalan air Pulau Gaya di Kota Kinabalu yang bernilai kira-kira RM100 juta.

Projek tersebut pernah menjadi perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2017.

​”Sehingga hari ini, masih terdapat aduan dan rungutan bahawa sebahagian penduduk Pulau Gaya terus berdepan masalah bekalan air bersih walaupun projek tersebut melibatkan kos yang besar.

​”Saya turut mencabar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya tampil secara terbuka menjelaskan kepada rakyat Sabah mengenai pencapaian utama sepanjang beliau menerajui KKLW dalam menyelesaikan masalah asas seperti air, elektrik, dan jalan raya. Hakikatnya, sehingga kini ramai rakyat luar bandar dan pedalaman Sabah masih bergelut dengan masalah kemudahan tersebut,” katanya.

Untuk rekod, SPRM pada tahun 2017 pernah menjalankan siasatan meluas dan berprofil tinggi membabitkan projek bekalan air, elektrik, dan jalan raya di Sabah bagi tempoh 2009 hingga 2015 yang bernilai keseluruhan RM7.5 bilion. Siasatan tersebut bertumpu kepada penyelewengan dana RM1.5 bilion.

​Dalam operasi berkenaan, Mohd Shafie bersama ahli keluarga, ahli perniagaan, dan beberapa kontraktor pernah ditahan reman oleh SPRM bagi membantu siasatan.

​Bagaimanapun, Zulkarnain membangkitkan persoalan apabila kes tersebut tidak diteruskan selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018, atas alasan tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

Keputusan itu dibuat ketika mendiang Datuk VK Liew dari Parti Warisan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang).

​”Keputusan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Sabah. Rakyat berhak mengetahui apakah asas dan pertimbangan yang membawa kepada keputusan itu, serta adakah semua fakta dan keterangan yang dikumpulkan telah dinilai sepenuhnya,” katanya yang juga merupakan antara pengadu awal yang membuat laporan kepada SPRM mengenai kes tersebut pada tahun 2016 dan 2017.

​​Zulkarnain menegaskan, peredaran masa atau perubahan lanskap politik tidak seharusnya mengaburkan kebenaran, terutamanya apabila ia melibatkan akauntabiliti pengurusan dana awam.

​Beliau juga menyatakan tidak akan lari daripada memperjuangkan isu-isu kepentingan awam meskipun pernah berdepan tekanan berat, termasuk menerima ugutan bunuh pada tahun 2020 sehingga terpaksa membuat laporan polis.

​”Segala tekanan, ugutan, dan cabaran yang pernah saya hadapi tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus bersuara. Selagi saya berada di landasan yang benar dan memperjuangkan kepentingan rakyat, saya akan terus bersuara tanpa gentar kerana wang rakyat adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak,” katanya.

​Beliau turut menyeru SPRM di bawah kepimpinan baharu agar melaksanakan amanah dengan jujur, berani, tanpa memilih bulu, serta menyemak semula segala bukti yang telah dikumpulkan sebelum ini.

BBerkaitan

Latest articles